Duckyang hasilkan bateri kereta elektrik

BRASELTON, 23 MEI – Sebuah pembekal kereta Korea akan melaburkan dana berjumlah AS$10 juta dan menggaji 285 pekerja di timur laut Atlanta untuk menghasilkan alat kereta yang akan melengkapi bateri kenderaan elektrik yang akan dikeluarkan oleh kilang SK Innovation berhampiran.

Duckyang Industrial Co berkata baru-baru ini kilang di Braselton akan membangunkan modul bateri dan sistem simpanan tenaga untuk kilang SK Innovation yang bernilai AS$2.6 bi-lion dan 2,600 pekerja di Commerce.

Duckyang tidak berkata bila ia akan memulakan pengeluaran, hanya mengatakan ia akan menghuni bangunan seluas 230,000 kaki persegi di sebuah taman perindustrian berhampiran gudang Amazon.

“Dengan menembusi pasaran bateri kenderaan elektrik AS dengan SKBA, kami berpeluang bekerjasama dengan banyak syarikat kereta lain, termasuk Hyundai dan Kia Motors, yang telah pun mempunyai kilang pengeluaran di AS,” kata ketua pegawai eksekutif Duckyang, Dong-in-Son dalam satu kenyataan.

Beliau berkata syarikat berharap dapat membekalkan alat ganti kenderaan elektrik dari Braselton.

SK Innovation mengumumkan pada Khamis ia akan menubuhkan usaha sama dengan Ford Motor Co untuk menghasilkan bateri dan peralatan berkaitan mulai 2025 untuk memenuhi keperluan bateri kenderaan Ford.

Usaha sama itu, dinamakan BlueOval SK, akan mengeluarkan bateri yang cukup yang memerlukan dua kilang milik bersama.

Ford berkata ia memerlukan kapasiti 10 buah kilang di seluruh dunia menjelang 2030.

Menurut SK, ia akan membelanjakan AS$5.3 bilion untuk membina kilang itu, selain AS$2.6 bilion yang akan dibelanjakan ke atas kilang di Commerce. – AP