Duduk rumah, tonton TV

MANILA, 26 JAN – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte hari ini melarang kanak-kanak berusia 10 sehingga 14 tahun keluar rumah, ketika Filipina cuba mengawal penularan wabak COVID-19 yang mencengkam negara itu.

Perintah duduk di rumah terhadap semua kanak-kanak dan golongan tua, dilaksanakan di seluruh negara sejak pandemik itu melanda, walaupun selepas ekonomi dibuka semula.

“Tolong duduk di rumah. Mereka pun suka menonton televisyen. Mereka boleh fokus sepenuhnya dengan menonton televisyen seharian,” menurut Duterte.

Walaupun segelintir ibu bapa enggan mematuhi peraturan itu dengan membenarkan anak mereka bermain di taman, langkah berkenaan menghalang keluarga daripada berkunjung ke kompleks membeli-belah yang menjadi nadi komuniti dan pengguna.

Sekolah dan institusi pengajian di sleuruh negara juga masih ditutup.

Jumaat lalu, jawatankuasa koronavirus mengumumkan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun, dibenarkan keluar rumah bermula Februari ini.

Bagaimanapun, Duterte membatalkan keputusan itu dan menegaskan beliau tidak mahu membiarkan golongan muda menanggung risiko dijangkiti varian baharu virus terbabit yang lebih berbahaya.

Varian baharu virus itu setakat ini sudah menjangkiti 17 individu, termasuk tiga kanak-kanak.

“Saya amat bimbang kerana varian baharu virus ini boleh menjangkiti kanak-kanak,” katanya. – AFP

Penduduk memakai penutup mulut dan hidung bagi mengelak dijangkiti koronavirus, menyorong tong-tong air di bawah hiasan payung-payung di Taguig, Filipina, 26 Januari. – AFP