DOHA, 28 NOV – Mitchell Duke tidak termasuk dalam senarai bintang Piala Dunia namun pemain penyerang itu merupakan tunjang penting buat pasukan Australia untuk mara ke kelompok 16 terakhir buat kali kedua.
Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Robert Lewandowski masing-masing telah menjaringkan gol penting di Qatar pada Sabtu – begitu juga Duke, yang bermain di divisyen kedua Jepun.
Duke memberikan kesukaran buat pertahanan Tunisia dengan fizikal tubuh badannya. Tetapi tandukannya pada minit ke-23 ternyata membawa kemenangan kepada pasukannya.
Dia meraikan gol dengan membuat abjad ‘J’ dengan tangan khas untuk anaknya, Jaxson.
“Saya belum menonton semula tetapi nampaknya dia membalas isyarat tangan kepada saya, yang merupakan momen istimewa yang akan saya kenang seumur hidup saya,” kata Duke.
Akhbar Australia, The Age menggelarnya ‘malam yang tidak dapat dilupakan’.
“Membuktikan kenapa Arnold meletakkan sepenuh kepercayaan ke atasnya,” kata akhbar tersebut, merujuk kepada jurulatih Socceroos, Graham Arnold.
“Bekerja keras setiap masa dan menghasilkan gol dengan bijak.”
Tandukan Duke merupakan golnya yang kesembilan dalam 23 permainan untuk skuad Socceroos.
“Saya percaya dengan kebolehannya,” kata Arnold selepas skuad kendaliannya menang ke atas Tunisia.
“Saya tahu setiap kali dia melangkah garisan putih di padang, dia akan memberikan lebih daripada 100 peratus bukan sahaja untuk pasukan, malah untuk negara.”
Duke akan menjadi tumpuan utama bahagian serangan Australia apabila mereka berdepan Denmark pada Rabu dalam aksi akhir Kumpulan D. Socceroos pernah mara ke kelompok 16 terakhir pada tahun 2006, semasa era Harry Kewell, Tim Cahill and Mark Viduka. – AFP