Dukung Inisiatif hijau

Oleh Daniel Lim

KUALA BELAIT, 6 Dis – Mendidik masyarakat untuk mengitar semula boleh diibaratkan seperti tabiat menyimpan wang. Walaupun mencabar, jika kekal konsisten dalam menabung dan mengitar semula, ia pasti akan membuahkan hasil, tambahan lagi negara kita bergerak ke arah inisiatif alam sekitar lebih hijau dan mapan.

“Orang dewasa dan generasi muda terutama golongan kanak-kanak perlu dididik akan manfaat dan kebaikan kitar semula dan penubuhan platform Depot Hijau itu adalah salah satu kemudahan untuk masyarakat setempat bagi mengitar semula,” kata ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku pengurus besar RECOVER dan Green Brunei pada majlis perasmian Depot Hijau pertama di Jalan Panglima, berdekatan Taman Riadah Jubli Emas, di sini, hari ini.

“Depot Hijau pertama di negara ini adalah bertujuan untuk menyediakan platform mudah dalam kalangan masyarakat untuk mula mengitar semula selain menanamkan sifat tanggungjawab mengenai inisiatif itu,” ujarnya lagi.

Menurut Yang Berhormat Dayang Khairunnisa lagi, depot itu ditubuhkan bukan saja bertujuan untuk mengitar semula tetapi dapat memberi keuntungan kepada orang ramai yang mana bagi pengunjung pertama yang menggunakan kemudahan itu, mereka perlu mengisi borang pendaftaran secara online bagi membolehkan mereka mengesan kekerapan kitar semula, berat barangan yang telah dikitar semula serta keuntungan yang sudah mereka hasilkan.

Sentimen yang sama turut dikongsi oleh tetamu kehormat pada majlis perasmian itu, Timbalan Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Yap Kong Fah yang menyatakan perasaan teruja bagi pihak syarikatnya kerana dapat menyokong penubuhan depot tersebut.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa menyaksikan Yap Kong Fah memasukkan barangan kitar semula ke dalam Depot Hijau.

“BSP sebagai penyokong kuat ke atas kesedaran dan perlindungan alam sekitar sa-ngat berbesar hati dapat menyokong Green Brunei dalam inisiatif ini,” ujarnya.

Dalam usaha itu, tambah Yap Kong Fah, BSP juga telah menganjurkan pelbagai aktiviti seperti membersihkan pantai, menubuhkan proses pengitaran semula sendiri dalam syarikat, dan Depot Hijau mewakili perlanjutan kempen BSP untuk melindungi alam sekitar.

“Saya berbesar hati inisiatif itu dilaksanakan dan dengan kerjasama kukuh bersama Green Brunei serta beberapa agensi tempatan, kami boleh bekerjasama dengan masyarakat untuk bergerak ke arah alam sekitar yang bersih lagi hijau,” katanya.

Dengan menggunakan sistem online yang diimplementasikan Depot Hijau, yang direka oleh Nextacloud Technologies, jelasnya, sistem itu sangat mudah digunakan, yang bukan saja memastikan bahawa tiada kertas dibazirkan semasa proses mengumpul bahan kitar semula namun juga untuk memberi galakan kepada masyarakat untuk mengitar semula dengan pengalaman kitar semula yang mudah dan tiada masalah.

“Ini akan membantu mempromosi orang ramai untuk menyelesaikan isu bahan
buangan yang boleh dikitar semula namun juga menyediakan mereka beberapa insentif kewangan untuk mengitarnya,” katanya merujuk kepada wang yang diperoleh setiap kali mereka mengitar semula pada depot itu dan jumlah yang dibayar kepada akaun pengguna, yang membantu memenuhi permintaan pengguna yang ingin mengamalkan kitar semula mengikut kehendak mereka atau mereka yang ingin mencabar diri untuk mengitar sebanyak mungkin.

Selain melindungi alam sekitar, beliau berharap dengan kerjasama antara semua agensi yang berkaitan akan terus memastikan masyarakat lebih memahami manfaat kitar semula, dari segi manfaat kepada alam sekitar dan kewangan.

Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad juga berkata dengan lokasi strategik depot itu, ia terletak dekat dengan masyarakat setempat dan mudah untuk diakses, namun dengan insentif kewangan, orang ramai akan mempertimbangkan semula pilihan mereka untuk membuang bahan kitar semula semudahnya.

Beliau berharap dengan inisiatif itu, orang awam akan lebih menyedari kepentingan untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar di sekeliling mereka malah berharap orang ramai akan mula mengumpulkan sampah-sarap yang dibuang sewenangnya untuk dikitar semula di Depot Hijau, Kuala Belait.