Dukung keamanan kampung, jadi penggerak ikatan ukhuwah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Bagi mendukung misinya untuk memastikan keselamatan dan keamanan di kawasan setempat dan menjadi nadi penggerak mengeratkan ikatan ukhuwah sesama masyarakat, ahli-ahli pengawasan kejiranan (PK) dari pelbagai kampung giat menjalankan aktiviti rondaan dan pendekatan bersama anggota Pasukan Polis Diraja Brunei, baru-baru ini.

Antara yang terlibat menjalankan aktiviti pengawasan ialah ahli PK RPN STKRJ Tanah Jambu bersama keanggotaan Balai Polis Muara yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Hajah Nur Azhani binti Haji Johaiani.

Di samping itu, beberapa aktiviti pendekatan dikendalikan oleh Focal Point Balai Polis Berakas ke kediaman Pemangku Ketua Kampung Jaya Setia, Kampung Jaya Bakti dan Kampung Burung Pinggai Berakas, Haji Omar Ali bin Haji Mohd Daud dan Pemangku Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Lambak Kanan, Mukim Berakas B, Haji Omar bin Haji Sapar yang diketuai oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas, Inspektor Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Rahman.

Semasa pendekatan tersebut, perkara-perkara yang disentuh turut mengupas hal ehwal keadaan kampung, perancangan aktiviti-aktiviti PK serta perkongsian maklumat dan statistik jenayah yang telah dilaporkan berlaku di kampung tersebut.

Di Daerah Temburong, rondaan tertumpu di kawasan penurunan feri Temburong dan Limbang yang disertai oleh Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merusin, ahli PK Kampung Puni bersama Pegawai Menguasa Balai Polis Temburong, Inspektor Muhd Ajib bin Haji Ahmad Awal.

Anggota polis ketika menjalankan program pendekatan PK. – Gambar serahan PPDB

Sementara itu, kunjungan turut diadakan oleh Focal Point Balai Polis Seria yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Syed Afidzul Azeez bin Sheikh Haji Abu Bakar ke Sekolah Ugama Pengiran Setia Negara Pengiran Haji Muhd Yusof, Lorong 3 Seria.

Antara objektif pendekatan itu menjurus kepada perbincangan permasalahan yang berlaku di sekolah-sekolah tersebut, mengenai keselamatan kawasan sekolah di samping mengeratkan silaturahim antara guru-guru dengan pihak polis.

Tidak ketinggalan juga pemantauan Focal Point Balai Polis Labi bersama Inspektor Percubaan (P/Insp) Mohd Janatun Na’em bin Haji Abdul Rahim semasa penyerahan wang pencen dan kebajikan di kediaman Ketua Kampung Labi II, Haji Matussin bin Matzin bagi memastikan keselamatan hal ehwal penduduk kampung di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, bagi menjayakan misi tersebut, sokongan berterusan daripada masyarakat adalah sangat diperlukan dalam membantu usaha sedemikian, demi merapatkan lagi hubungan silaturahim bersama masyarakat dengan konsep membebaskan masyarakat dan negara daripada jenayah.