Dukung pemulihan pasca COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Delegasi Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah menghadiri sesi Sidang Video Khas Menteri-menteri Kesihatan ASEAN berkenaan COVID-19 yang diadakan secara dalam talian, kelmarin.

Delegasi berkenaan disertai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa sidang video berkenaan telah dipengerusikan oleh menteri kesihatan, Republik Indonesia, secara maya.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa sidang video yang bertemakan Tindak Balas ASEAN Terhadap COVID-19 Selepas Setahun itu merupakan peluang bagi menteri-menteri kesihatan ASEAN untuk berbincang serta bertukar maklumat terkini mengenai program vaksin COVID-19 di negara masing-masing, varian-varian COVID-19 dan penubuhan protokol kesihatan ASEAN bagi mendokong pemulihan pasca COVID-19 di rantau ini.

Semasa mesyuarat berkenaan, antara saranan yang disampaikan oleh Negara Brunei Darussalam adalah bagi negara-negara ahli ASEAN bersama-sama mengukuhkan lagi inisiatif-inisiatif untuk membendung isu-isu COVID-19 di rantau ini melalui Rangka Kerja Komprehensif Pemulihan ASEAN, mempertingkatkan lagi usaha untuk memberi akses vaksin COVID-19 yang saksama kepada penduduk negara masing-masing, menangani isu maklumat palsu yang berhubung kait dengan COVID-19 serta menangani impaknya termasuk kesan negatif terhadap kesihatan mental.

Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa berikutan itu, menteri-menteri kesihatan ASEAN telah meluluskan satu kenyataan bersama yang antara lainnya bersetuju untuk meneruskan kerjasama bagi mengukuhkan lagi usaha-usaha untuk menangani pandemik COVID-19 melalui inisiatif-inisiatif di peringkat global dan serantau.

Di samping itu, sidang video berkenaan turut menyaksikan pelancaran ASEAN Portal for Public Health Emergencies iaitu satu platform yang memberikan maklumat secara maya dalam kalangan negara ahli ASEAN, rakan-rakan dialog ASEAN dan pihak awam mengenai kecemasan kesihatan awam di rantau ASEAN di samping mendukung penggunaan teknologi maklumat digital untuk menangani ancaman terhadap kesihatan awam ketika ini dan juga pada masa yang akan datang.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika meng-hadiri sesi Sidang Video Khas Menteri-menteri Kesihatan ASEAN berkenaan COVID-19 yang diadakan secara dalam talian, kelmarin. – Gambar serahan Kem. Kesihatan