Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 27 April – Lebih 300 orang dalam kalangan usahawan menghadiri Taklimat Program I-Usahawan yang berlangsung di Dewan Kelab Rekreasi Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Seria, di sini, hari ini.
Program I-Usahawan merupakan inisiatif pembangunan keusahawanan yang dibangunkan oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian dengan kerjasama Syarikat Usaha Sama Brunei Shell (BSJV) dengan tujuan untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam memulakan, memiliki dan mengembangkan perniagaan sendiri dan mendapatkan kontrak pertama dengan Syarikat BSJV.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah kalangan pegawai-pegawai Jabatan Tenaga dan Perindustrian.
Pengurus In Country Value (ICV) BSP, Hajah Rosita binti Haji Hassan berkata, program tersebut juga merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk merealisasikan wawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam menggalakkan usahawan kecil dan sederhana, untuk menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
Selain itu, Program I-Usahawan juga akan memberikan satu lagi platform kepada para usahawan muda untuk mengembangkan perniagaan mereka, yang seterusnya akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Brunei.

Menurutnya, salah satu strategi ‘Fit for Strategic Future’ di BSP adalah untuk rakyat dan negara yang bertujuan untuk menyediakan tenaga kerja bagi pekerjaan di Brunei, memelihara, membangun dan menyokong bakat, mengembangkan usaha tempatan dan menarik pelaburan langsung asing.
“Untuk mencapai matlamat ini, BSP telah mengguna pakai ICV yang meliputi lebih daripada sekadar pembangunan perniagaan tempatan, tetapi juga termasuk peluang untuk barangan buatan tempatan dan perkhidmatan, pelaburan sosial dan pembangunan kemampuan,” katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan pembentangan terperinci mengenai topik Pendaftaran Dalam Talian Vendor (VORs), Program Latihan Akademi Perniagaan Tenaga dan Program Kemudahan Kredit BSP yang disampaikan oleh beberapa orang wakil BSP.
Program tersebut menyasarkan pemilik perniagaan Bumiputra yang berusia 21 hingga 40 tahun, yang masih belum mendapat kontrak dengan syarikat berkaitan kerajaan atau Syarikat BSJV, termasuklah Syarikat BSP, Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd dan Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM).
Peserta program akan menerima latihan untuk memulakan, menjalankan dan mengembangkan perniagaan melalui accelerator permulaan dan akan diundang untuk menyertai latihan memasukkan tender yang kompetitif bagi kontrak terpilih dan mereka yang berjaya akan diberikan kontrak selama tiga tahun dengan sambungan yang berpotensi dan akses kepada pembiayaan melalui program kemudahan kredit BSJV dan mentor berpengalaman sepanjang tempoh kontrak.
Kawasan perniagaan yang disasarkan termasuklah perkhidmatan pemotongan rumput, penyelenggaraan landskap dan hortikultur, perkhidmatan penyediaan kopi dan teh, kantin atau kafe, pengurusan sisa domestik, pengurusan sisa kitar semula, pembekalan basikal dan penyelenggaraan, videografi dan perkhidmatan fotografi serta pengurusan acara.
BSJV akan mengeluarkan undangan Expression of Interest (Eol) bagi kontrak-kontrak yang disebutkan itu pada 28 Mei ini.
Sebelum mengeluarkan pakej tender, peserta akan menjalani proses Eol dan pemilihan yang mana mereka akan diberikan latihan di bawah Akademi Perniagaan Tenaga (EBA) dan BSJV merancang untuk menganugerahkan tender antara suku keempat 2018 dan suku pertama 2019.
Setelah diberikan kontrak, syarikat-syarikat yang berjaya layak mendapatkan Program Pembiayaan Kredit daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) atau Bank Baiduri.