Dukung usaha larangan merokok berperingkat

KOTA KINABALU, 10 Jan – Majlis Belia Sabah (MBS) menyokong usaha kerajaan Sabah untuk melaksanakan secara berperingkat penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan mulai 1 Feb ini.

Timbalan Presiden MBS Abqaree Fawwaz Abekan berkata penguatkuasaan secara berperingkat larangan itu sangat tepat untuk memberi masa kepada semua agensi dan pemilik premis terlibat untuk membuat persiapan bagi pelaksanaan peraturan berkenaan.

“MBS menyambut baik langkah yang diambil oleh kerajaan Sabah dalam isu berkenaan dan kita berharap peraturan ini dapat dipatuhi oleh semua pihak khususnya kepada pemilik premis dan perokok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mesyuarat kabinet yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam memutuskan penguatkuasaan sepenuhnya peraturan ini hanya akan dilaksanakan pada 1 Julai dan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Feb ini.

Abqaree Fawwaz berkata semua pihak khususnya golongan perokok perlu mematuhi larangan berkenaan kerana ia bertujuan untuk menjamin kesihatan dan keselesaan pengunjung premis makanan.

“Selain itu larangan itu juga  dapat mengekalkan kebersihan di kawasan premis berkenaan kerana sebelum ini terdapat premis yang dicemari dengan puntung dan asap rokok,” tambahnya. – Bernama