Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Dulu aktif menari, kini usahawan kek batik

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Awang Muhammad Rozaini

    Siapa menyangka hanya bermula dengan pengalaman membantu bapa saudara membuat kek batik, timbul kemahiran pada diri seorang jejaka yang menetap di Kampung Salambigar sehingga mampu menerajui bidang penjualan variasi kek batik resepi peribadi sejak penghujung tahun 2016.

    “Semestinya pengalaman dan latihan berterusan itu sesuatu yang mustahak untuk memantapkan diri dalam apa-apa sahaja bidang yang diceburi. Berbicara mengenai pembuatan kek, begitu penting untuk kita sentiasa menggenggam amanah dalam menitikberatkan nilai-nilai kualiti meliputi aspek kebersihan, cita rasa dan kreativiti secara konsisten.

    “Perasaan lelah itu memang lumrah tetapi kepuasan pasti akhirnya dapat dirasai jika kita benar-benar tekun berusaha untuk lebih berdikari dalam mencari pendapatan sehari-hari di samping berjaya menyemai fikiran secara matang dan rasional dalam menangani segala aspek kehidupan.

    “Bayangkan daripada kita tidak mempunyai apa-apa sehingga mampu memiliki sesuatu yang ingin dicapai bagi memenuhi keperluan hidup, bukan hanya semata-mata untuk kepentingan peribadi bahkan menolong ahli keluarga dan insan-insan yang memerlukan.

    Itulah keindahan yang tiada tolak tandingnya dalam kita meniti perniagaan,” jelas Awang Muhammad Rozaini bin Haji Mohd Husaini, 34, yang menjalankan perusahaannya di bawah nama De’ Cindai Enterprise secara sepenuh masa bersama sahabat beliau, Awang Mohd Adi Sahrol Edwan Sah bin Jali, 29, semasa ditemui penulis, baru-baru ini.

    Awang Muhammad Rozaini (kanan) bersama sahabat beliau, Awang Mohd Adi Sahrol yang menjalankan perusahaan variasi kek batik resepi peribadi sejak penghujung tahun 2016.
    Pengusaha dua bersahabat ini bukan hanya mengetengahkan kek batik klasik dan Vico bahkan mereka juga menawarkan lebih 20 variasi kek batik lain antaranya perasa keju, keladi dan sebagainya.

    Di samping variasi kek batik, terdapat produk lain turut boleh didapati.

    Dulu seni tarian, kini pengusaha kek

    Mengongsikan pembabitan dalam perniagaan variasi kek batik ini, Awang Muhammad Rozaini yang dahulunya begitu aktif dalam bidang seni tarian sememangnya tidak pernah menyangka untuk aktif dalam bidang pembuatan kek ini.

    “Seperti yang kita ketahui, pengusaha kek di negara ini bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, masing-masing memiliki gaya sentuhan resepi dan kreativiti yang tersendiri, namun perkara itu sememangnya bukanlah suatu yang mampu dijadikan alasan untuk beralih kepada produk sentuhan yang lain.

    “Bahkan di situlah letaknya cabaran yang menguatkan lagi kami untuk tampil mengetengahkan lebih 20 jenis kek batik istimewa yang tersedia dengan pilihan saiz tertentu sama ada sebiji kek, separuh mahu pun dalam potongan-potongan kecil penuh warna-warni dalam sebuah kotak khas.

    “Bukan hanya keindahan semata-mata tetapi biarlah sentuhan kami ini mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dengan harga yang mampu milik, lebih-lebih lagi senang dihidang dan dimakan bila-bila masa,” ujarnya lagi

    Kini, pengusaha dua bersahabat ini bukan hanya mengetengahkan kek batik klasik dan kek batik Vico bahkan mereka juga mencipta sentuhan perasa yang lain antaranya perasa keju, keladi, kopi, delima, Velvet dan Hijau Baiduri.

    Terhasil 50 biji kek sehari

    Berkongsi mengenai cabaran penjualan kuih-muih raya semasa tanah air kita menghadapi penularan COVID pada sebelumnya berbanding semasa fasa endemik ini lebih-lebih menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Awang Muhammad Rozaini menjelaskan sejujurnya cabaran begitu terasa apabila mula membukakan tempahan di laman media sosial apa lagi semasa Fasa Endemik ini orang ramai pastinya akan membeli seperti tahun-tahun sebelumnya.

    Tidak dinafikan juga, tambahnya, kenaikan harga barangan asas yang melonjak naik telah menjadi cabaran bukan sahaja kepada mereka bahkan bagi sesiapa sahaja pengusaha makanan dan minuman.

    “Alhamdulillah walaupun keadaan kita masih dalam suasana endemik dan perlunya langkah berwaspada, sungguh tidak dijangka tempahan masih sehangat seperti dahulunya telah diterima menjelang Hari Raya ini. Sememangnya dalam menyediakan tempahan pada waktunya, pengurusan masa adalah sangat dititikberatkan oleh kami di mana kami menetapkan menyiapkan 50 biji kek dalam sehari,” katanya penuh kesyukuran yang turut dibantu oleh ibu dan adik-beradik yang lain di saat mula tidak menang tangan menyiapkan tempahan para pelanggan.

    Sebuah kereta daripada hasil jerih usaha

    Dalam pada itu, Awang Muhammad Rozaini turut merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga di atas sokongan teguh kedua ibu bapa beliau dan ahli keluarga yang sering mengingatkannya untuk sentiasa berasa rendah diri dan sentiasa reda jika jualan kurang mendapat sambutan kerana Allah SWT adalah penentu segalanya, di samping sentiasa berusaha tanpa berputus asa dan bersiap sedia menerima kritikan dan pujian orang dengan hati yang terbuka dan positif.

    “Setiap detik menyaksikan penerimaan orang ramai daripada hasil sentuhan produk yang diketengahkan menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan malah itulah juga pendorong kami berdua untuk terus bangun apabila jatuh dan berusaha lebih gigih lagi untuk memenuhi segala tempahan yang berkualiti dari semasa ke semasa.

    “Dengan izin Allah, dahulunya saya sukar mencari pekerjaan tetap namun kini berkat hasil simpanan daripada titik peluh penjualan kek batik ini saya bersyukur mampu memiliki sebuah kereta sendiri. Oleh itu, sesiapa pun kita, jangan takut untuk memulakan sesuatu perkara khususnya dalam bidang keusahawanan. Sudah menjadi lumrah kehidupan seorang peniaga berteman dengan naik turun penjualan dan yakinlah rezeki itu ada di mana-mana selagi kita tidak pernah mengenal erti putus asa dalam mengejar cita-cita selama ini,” kongsinya dengan kerendahan hati semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Pertama, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...