Dulu pengurus kini pengusaha cili

KUALA KRAI – Bekas pengurus kedai telekomunikasi yang hilang pekerjaan pada Mac tahun lepas akibat pandemik COVID-19, kini adalah seorang petani berjaya yang meraih pendapatan lima angka sebulan.

Mohd Saifullah Che Mat, 28, yang juga merupakan siswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata beliau terpaksa melupakan kerjaya sebagai pengurus, berikutan kedai telekomunikasi tidak dapat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Enggan terus bersedih, pemuda itu secara semborono ‘terjun’ ke dalam bidang pertanian dengan menanam sebanyak 800 pokok lada solok di atas tanah milik bapanya Che Mat Hussin, 72, bermodalkan RM4,000.

“Benarlah seperti pepatah ‘malu bertanya sesat jalan, malu mengayuh perahu hanyut’ terkena pada diri saya apabila mengalami kerugian dalam percubaan pertama dengan kesemua tanaman lada solok rosak kerana saya tidak mempunyai ilmu dalam bidang pertanian.

“Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat atau menyebabkan saya putus asa, dan seterusnya mengambil inisiatif berguru dengan kenalan yang mahir dalam bidang ini, selain turut belajar melalui YouTube,” kata Mohd Saifullah ketika ditemui pemberita di kebun sayurnya di Kampung Chuchoh Puteri. 

Bekas pengurus kedai telekomunikasi Mohd Saifullah Che Mat menunjukkan lada burung atau dikenali sebagai cili padi kampung. – Bernama
Mohd Saifullah Che Mat sedang memetik sebahagian lada burung atau dikenali sebagai cili padi kampung yang ditanam dikebun sayur miliknya. – Bernama

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Komunikasi itu berkata, selepas gagal kali pertama beliau mencuba pula menaman sebanyak 1,200 pokok terung secara konvensional.

Katanya, dalam tempoh seminggu sahaja kira-kira 300 kilogram (kg) terung dapat dituai sehari dengan hasil jualan mencecah RM800.

“Melihat pada hasil tanaman terung yang memberangsangkan, selain ia turut memberi pulangan lumayan, saya mula mengusahakan 1,000 pokok lada burung secara fertigasi menggunakan geran sebanyak RM10,000 yang diperoleh daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

“Menerusi percubaan tanaman lada burung atau dikenali sebagai cili padi kampung itu, saya mula mencipta kelainan dengan menggunakan kaedah fertigasi, kerana kaedah ini dikatakan lebih mudah untuk diurus, selain ia turut menjimatkan kos sekali gus dapat mengurangkan risiko diserang serangga perosak,” jelas anak bongsu daripada lima adik-beradik itu.

Mohd Saifullah menarik nafas lega apabila usaha jerih-perihnya akhirnya membuahkan hasil, apabila tanaman itu menjana 70 hingga 100 kg lada burung. – Bernama