Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Dulu susah kini bergelar usahawan santan

    REMBAU – Biarpun sudah meniti usia emas, Salmah Ahmad, 61, tidak pernah berputus asa untuk bangkit membina kehidupan lebih baik menerusi perniagaan santan segar diusahakan sejak tujuh tahun lepas di Kampung Chuai Hilir. 

    Hanya bermodalkan RM600, perniagaan yang diusahakan bersama suaminya, Abdul Manap Dahlan, 62, mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat serta di luar Negeri Sembilan. 

    Ibu kepada lima anak itu merupakan penerima bantuan zakat bulanan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) juga pernah menjual kuih-muih serta pekerja katering sebelum mengusahakan perniagaan santan segar pada tahun 2015.

    “Saya mula berniaga santan dengan menyewa kedai dan mesin perah kelapa milik rakan pada 2015.  Pada awalnya saya berniaga santan ini bagi membantu suami yang tidak dapat bekerja susulan mengalami penyakit kronik iaitu batu hempedu. 

    “Alhamdulillah, saya bersyukur kerana perniagaan santan diusahakan ini mula mendapat permintaan dan menambah pendapatan kami sekeluarga yang dahulunya pernah hilang punca pendapatan akibat COVID,” katanya kepada Bernama di kedai santan miliknya di sini.

    Salmah Ahmad melakukan proses penyediaan santan segar untuk dijual kepada para pelanggan sambil dibantu suaminya, Abdul Manap Dahlan di premis perniagaannya di Kampung Chuai Hilir. – Bernama

    Salmah berkata setelah empat tahun berniaga dengan menyewa kedai milik rakannya itu, beliau kemudian berpindah ke kedai baharu yang dibina sendiri di Kampung Chuai Hilir.

    Selain itu, Salmah turut berterima kasih kepada MAINS yang memberi bantuan berupa mesin perah santan dan mesin kukur kelapa bernilai RM6,460 berserta modal perniagaan tambahan berjumlah RM1,500 melalui amanah zakat MAINS pada 29 April lepas.  

    Beliau berkata sambutan yang diterima amat mengalakkan terutama semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri lepas apabila dia tidak menang tangan menerima tempahan santan segar yang di luar jangkaan. 

    “Kami menyelesaikan pesanan pelanggan sehingga pukul 2 pagi dan ada pelanggan yang datang ‘walk in’ untuk menempah santan segar namun terpaksa menolak kerana perlu menyiapkan tempahan pelanggan yang sudah memesan lebih awal,” katanya. 

    Dalam pada itu, Salmah berkata beliau turut membuat persediaan menjelang sambutan Aidiladha kali ini dengan menempah lima tan kelapa dari Melaka bagi pelanggan yang telah membuat pesanan awal serta mereka yang membuat pembelian di saat akhir. 

    Beliau turut menasihati orang ramai yang senasib dengannya untuk memperbaiki kehidupan meskipun dengan hanya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah.

    “Kalau kita berniaga mesti ada untung walaupun tak banyak tetapi ia mampu menambah pendapatan serta meringankan beban keluarga. Jangan terlalu mengharapkan bantuan sebaliknya kita berusaha untuk keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...