DUML puji keputusan kementerian pertanian

LABUAN, 5 Dis – Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) memuji Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani atas keputusan menarik balik larangan ke atas aktiviti pemindahan beras ke kapal di semua pelabuhan seluruh Malaysia, dan menyifatkannya sebagai langkah bermanfaat untuk pelabuhan.

Presiden DUML, Datuk Seri Mohd Alias Abdul Rahman berkata keputusan itu akan membantu memastikan aktiviti pelabuhan, khususnya Pelabuhan Labuan atau dikenali sebagai Labuan Liberty Wharf, terus kekal dalam keadaan pengendalian kargo pelabuhan semakin berkurangan disebabkan kelembapan sektor minyak dan gas.

Beliau berkata, DUML berterima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub atas keprihatinannya terhadap perniagaan anggota DUML yang terjejas berikutan larangan tersebut dilaksanakan.

“Keputusan itu merupakan sokongan bagi pengendali pelabuhan, terutama Pelabuhan Labuan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Alias yakin pengendali pelabuhan itu, Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd akan mematuhi arahan kementerian berkenaan untuk memastikan pemindahan beras ke kapal di pelabuhan dilaksanakan sekiranya mempunyai permit import.

Pada 4 Dis, Salahuddin berkata di Parlimen bahawa aktiviti pemindahan beras ke kapal di semua pelabuhan seluruh negara hanya dibenarkan sekiranya mempunyai permit import (AP).

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memastikan kegiatan penyeludupan tidak berlaku.

Salahuddin berkata: “sememangnya kita sedari transhipment ini perlu. Apa pun hujahnya, kita tidak boleh mengamalkan matlamat menghalalkan cara, jangan nanti pula Sabah atau negara kita digelar darul penyeludup.”

Sebelum itu, pada 30 Julai lepas, DUML meminta larangan pemindahan beras ke kapal di semua pelabuhan di seluruh Malaysia ditarik balik, termasuk Pelabuhan Labuan kerana ia menjejaskan secara ketara aktiviti perniagaan anggotanya.

DUML berkata kegiatan pengendalian kargo di Pelabuhan Labuan terjejas teruk, dengan jumlah kendalian kargo susut antara 20 peratus ke 30 peratus sejak tiga tahun lalu.

Ia berkata aktiviti mengangkut beras dari Vietnam ke Selatan Filipina melalui Pelabuhan Labuan sejak dua tahun lepas (2016) telah membantu mengaktifkan semula kegiatan pengendalian di pelabuhan berkenaan selepas kelembapan perniagaan kargo minyak dan gas. – Bernama