Dunia adiwira takluki imaginasi peminat

Oleh Sim Y. H.

Dengan aksi watak-watak adiwira menentang musuh untuk menyelamatkan dunia, jalan cerita yang penuh dengan babak-babak menawan hati serta lukisan dan rekaan watak adiwira yang menarik minat pembaca, tidak dinafikan bahawa komik mempunyai daya tarikannya tersendiri.

Ia juga sudah menjadi pilihan bagi sebilangan besar peminat puluhan tahun sejak popularitinya bermula pada tahun 1930an.

Populariti watak-watak adiwira komik kini terus memuncak dengan adanya filem-filem, rancangan bersiri televisyen, permainan video dan juga berbentuk animasi.

Dengan kejayaan melalui platform tersebut, tidak dinafikan bahawa watak-watak adiwira berkenaan telah menakluki imaginasi dan kehidupan para peminat.

Namun begitu, bagi sebahagian besar peminat setia watak-watak adiwira berkenaan, minat mereka bukannya lahir daripada siri filem, televisyen atau permainan video tetapi daripada buku komik yang menjadi pilihan bagi mereka.

Antara koleksi novel grafik yang dimiliki.
Albert juga minat mengumpul pelbagai robot Transformers.
Koleksi novel grafik daripada penerbit DC Comics.
Koleksi novel grafik daripada penerbit Marvel.

Menerusi komik itu, para peminat berpeluang untuk mengenali watak-watak berkenaan bukan sahaja kisah mereka menentang musuh atau menyelamatkan dunia tetapi juga mengenali mengenai kehidupan harian mereka, interaksi mereka dengan watak-watak lain di sekeliling mereka.

Keunikan perspektif kehidupan dan jalan cerita yang lebih terperinci menjadikan komik watak adiwira masih menjadi pilihan bagi para penggemar tegar watak berkenaan.

Salah seorang penggemar dan pembaca komik sejak daripada bangku sekolah lagi, Albert Chang berkongsi mengenai minat dan tarikan komik buat dirinya.

Menurutnya minat terhadap komik bermula daripada komik-komik seni mempertahankan diri dari Hong Kong dan kemudian beredar kepada komik-komik yang mengetengahkan watak-watak popular daripada penerbit komik terkenal, Marvel seperti X-Men, X-Factor, Spiderman, Fantastic Four, Avengers dan New Warriors.

Di samping watak dan siri komik popular daripada Marvel, beliau turut meminati watak-watak daripada syarikat penerbit yang lain termasuk DC Comics, Image Comics, Malibu dan Valiant.

Baginya setiap penerbit mempunyai watak-watak yang menarik dengan penulis yang berkaliber serta berpengalaman dan juga pelukis yang berjaya untuk menghidupkan jalan cerita dengan visual yang menarik serta aksi-aksi yang setanding dengan aksi yang terdapat dalam filem.

Kebanyakan penggemar komik, melihat medium itu sebagai satu kaedah untuk mengetengahkan kisah-kisah yang lebih menarik dan terperinci daripada cerita dalam filem, ini disebabkan ia memberikan peluang kepada penulis untuk membina jalan cerita dengan lebih menarik serta terperinci kerana penulis tidak dibebankan oleh masa seperti sebuah filem.

Di samping itu, pelukis atau artis komik berkenaan juga berpeluang untuk memberikan interpretasi mereka tersendiri mengenai satu-satu watak berkenaan dan walaupun bagi sesetengah watak dalam komik yang dikenali ramai mempunyai rekaan yang dikenali oleh peminat, tetapi artis atau pelukis diberikan input untuk menonjolkan watak itu mengikut gaya mereka tersendiri dan pada masa yang sama, tidak jauh lari dari asas utama rekaan watak berkenaan.

Menurut Albert, beliau masih ingat zaman kegemilangan komik iaitu pada tahun 1990an di mana ratusan jenis komik menjadi rebutan peminat dan puluhan syarikat penerbit kecil yang menerbitkan komik-komik mereka tersendiri selain daripada syarikat-syarikat penerbit gergasi.

Beliau menceritakan bahawa ketika masih menuntut di bangku sekolah, beliau sering berkunjung ke kedai-kedai buku dan komik untuk mendapatkan isu komik keluaran terbaharu.

Selain daripada komik yang dibelinya, beliau juga bertukar-tukar komik dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama di mana menerusi perkongsian itu, mereka berpeluang untuk membaca lebih banyak kisah-kisah menarik adiwira kegemaran mereka.

“Saya masih mempunyai komik-komik dari tahun 1990an itu, di mana ia disimpan di dalam kotak dan juga rak buku di rumah. Komik itu masih saya baca dari semasa ke semasa kerana ia merupakan siri dan cerita komik yang amat saya gemari,” tambahnya

Baginya pada masa ini, beliau lebih cenderung untuk membeli edisi koleksi komik yang mengumpulkan beberapa isu komik dalam satu naskhah atau jalan cerita yang lengkap untuk dibaca.

Baginya format novel grafik yang terdapat di dalam komik, memudahkannya untuk mengikut jalan cerita dan memberikannya masa untuk membaca serta menghadamkan inti pati kisah yang ingin disampaikan oleh penulis dan pelukis berkenaan.