‘Dunia alami hak asasi manusia paling teruk’

GENEVA, 21 JUN – Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini menggesa ‘tindakan bersepadu’ diambil untuk membantu berpulih daripada kemerosotan hak asasi global yang paling teruk pernah dilihat beliau, menekankan situasi di China, Rusia dan Habsyah.

“Untuk berpulih daripada siri hak asasi manusia paling teruk sepanjang hidup kami, kami memerlukan wawasan baharu dan tindakan bersepadu,” beritahu Michelle Bachelet pada pembukaan sesi Majlis Hak Asasi Manusia PBB ke-47.

“Kemiskinan teruk, ketidaksamaan dan ketidakadilan semakin meningkat. Demokratik dan ruang sivik sedang terhakis,” kata beliau.

Sesi itu, yang berlangsung sehingga 13 Julai dan diadakan secara maya disebabkan sekatan COVID-19, dijangka memaparkan laporan mengenai rasisme sistemik serta draf resolusi yang menumpu pada pelbagai situasi hak yang membimbangkan, termasuk di Myanmar, Belarus dan rantau Tigray. Dalam ucapan pembukaannya, Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia berkata beliau ‘amat bimbang’ dengan laporan mengenai ‘pencabulan serius’ di Tigray, dibelenggu peperangan dan dengan 350,000 penduduk diancam kebuluran.

Beliau merujuk kepada ‘penahanan sewenang-wenang, keganasan seksual terhadap kanak-kanak serta orang dewasa dan pengusiran paksa’, dan berkata beliau mempunyai ‘laporan sahih’ membuktikan tentera Eritrea masih beroperasi di rantau itu. Kawasan lain Habsyah, yang mengadakan pilihan raya hari ini, turut melihat ‘insiden keganasan etnik yang membimbangkan, dikaitkan dengan polarisasi mengenai ketidakpuasan berpanjangan,” kata Bachelet. – AFP

Michelle Bachelet memerhati selepas menyampaikan ucapan mengenai perkembangan hak asasi manusia global semasa sesi Majlis Hak Manusia di Geneva kelmarin. – AFP