Dunia berdepan peningkatan suhu dahsyat

GENEVA, 15 JAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan dunia sedang menuju ke arah peningkatan suhu yang dahsyat abad ini dengan 2020 direkodkan sebagai tahun terpanas mengatasi 2016.

Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres berkata keadaan perubahan iklim tanpa henti ternyata mengorbankan banyak nyawa.

Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan fasa 2011 hingga 2020 adalah dekad paling panas yang pernah dicatatkan.

Berdasarkan WMO daripada gabungan lima set data antarabangsa teratasnya, 2020 menyaingi 2016 dalam memegang takhta cuaca terpanas.

Katanya, suhu global secara purata pada 2020 ialah kira-kira 14.9 darjah Celcius (C), iaitu 1.2 C lebih tinggi berbanding ketika fasa praindustri pada 1850 hingga 1900.

Mengulas mengenai perkara itu, Guterres berkata pengesahan dibuat WMO bahawa 2020 menjadi antara tahun terpanas dalam sejarah adalah satu lagi peringatan kuat mengenai keadaan perubahan iklim yang tiada henti.

“Ia memberi kesan terhadap kehidupan dan nyawa di seluruh bumi. Hari ini, kita berada pada suhu 1.2 C kepanasan dan sudah dapat menyaksikan cuaca luar biasa yang ekstrem di setiap rantau dan benua.

“Kita menuju ke arah kenaikan suhu yang dahsyat iaitu tiga hingga lima C abad ini… justeru berbaktilah kepada alam semula jadi yang menjadi tugas kita pada abad ke-21 ini. Ia mesti menjadi keutamaan kita,” katanya. – AFP

Gambar fail menunjukkan kipas menyembur wap air tatkala pelanggan duduk di luar kafe di pusat bandar Rom semasa gelombang haba dengan suhu melebihi 34 darjah Celsius. – AP