Dunia bergelut kekang pandemik

PARIS, 28 JULAI – Pemimpin global kini kembali menguatkuasakan larangan, kuarantin dan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19 yang kini sudah meragut 655,569 nyawa di seluruh dunia.

Pada masa sama, negara di Eropah sedang berusaha membaik pulih kerosakan ekonomi berpunca daripada perintah berkurung terdahulu, namun tetap berwaspada dengan peningkatan kes baharu.

Di Washington, Rumah Putih mengumumkan pemimpin pengurusan kanan iaitu Penasihat Keselamatan Negara, Robert O’Brien, dijangkiti wabak itu.

Pada masa sama, Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas di dunia akibat wabak itu, dengan tambahan 57,000 kes jangkitan menjadikan jumlah keseluruhan 4,426,307 dan 147,588 kematian.

Sejak Ahad lalu, kes jangkitan harian di AS mencecah purata 60,000 kes sehari selama 12 hari ini, termasuk beberapa kes meningkat sehingga 70,000.

Meskipun peningkatan terus berlaku, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkritik tindakan penutupan sempadan, perintah larangan dan PKP yang terlalu ketat sehingga membebankan orang ramai, terutamanya golongan miskin.

WHO turut mengesahkan jawatankuasa kecemasan akan bertemu minggu ini untuk berbincang mengenai krisis itu, enam bulan selepas pertubuhan terbabit mengumumkannya sebagai pandemik kecemasan global. – AFP