Dunia gelisah tanpa ‘Like’ di FB

SAN FRANCISCO, 14 Mac – Facebook bergelut dengan cabaran pada Rabu apabila rangkaian sosial terbesar di dunia itu mengalami masalah teknikal sehingga tidak dapat diakses selama berjam-jam menyebabkan kebanyakan pengguna tidak dapat mengikuti perkembangan terbaharu ketika ini.

Ketika masalah terus berlarutan, sungutan daripada para pengguna membanjiri Twitter termasuk pada ruangan komen di downdetector.com yang mengesan masalah akses ke halaman dalam talian.

“Saya tidak pernah melihat Facebook terputus begitu lama dan banyak laman serta aplikasi lain juga mempunyai masalah,” keluh seorang pengguna.

Peta Downdetector lewat Rabu menunjukkan masalah teknikal Facebook berterusan di beberapa bahagian Australia, Asia, Eropah, Amerika Selatan dan Amerika Utara.

“Sebelas jam dan gangguan global masih berterusan. Ini amat buruk dan bukan sesuatu yang lucu atau bernilai hiburan,” menurut satu lagi komen pengguna.

Gambar fail 15 Januari 2019 menunjukkan paparan logo Facebook pada sebuah telefon pintar di Nantes, Perancis. Facebook dan Instagram mengalami masalah teknikal menyebabkan pengguna tidak dapat mengikuti perkembangan terkini selama 11 jam. – AFP

Sesetengah platform media melabelkan gangguan teknikal itu sebagai yang terbesar dalam sejarah Facebook. Punca masalah yang tidak diketahui turut menjejaskan Instagram milik Facebook dan Messenger.

Dalam sesetengah kes, aplikasi boleh diakses tetapi tidak akan memuatkan posting atau mengendalikan pesanan atau mesej para pengguna.

Firma California yang mempunyai lebih dua bilion pengguna itu mengakui ada gangguan teknikal selepas pengguna berkicau di Twitter bahawa mereka tidak dapat mengakses Facebook atau fungsinya amat terhad.

“Kami sedar bahawa sesetengah pengguna sedang berdepan masalah mengakses aplikasi keluarga Facebook. Kami berusaha menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” kata kenyataan Facebook di Twitter.

Tidak lama kemudian, Facebook memberitahu gangguan itu tiada berkaitan dengan serangan yang bertujuan untuk menguasai rangkaian.

“Kami memberi tumpuan kepada kerja untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin dan boleh mengesahkan bahawa gangguan itu tidak berkaitan dengan serangan penafian perkhidmatan (DDoS),” kata Facebook.

Serangan siber DDoS melibatkan penggodam laman web menguasai gelombang permintaan serentak, biasanya menggunakan tentera atau komputer yang dijangkiti dengan kod berniat jahat. Rangkaian sosial itu berkata tiada perkembangan dilaporkan menjelang petang di California. – AFP