Dunia Islam digesa pupuk budaya inovasi

KUALA LUMPUR, 13 DIS – Negara-negara Islam perlu perkukuhkan lagi sistem pendidikan masing-masing terutama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam usaha untuk memupuk semangat inovasi dan menyesuaikan diri dengan dunia yang pesat berubah.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (Inceif) Profesor Datuk Dr Azmi Omar, mereka memiliki potensi besar untuk menawarkan sumbangan positif kepada komuniti global.

Beliau mengambil perhatian bahawa inovasi daripada dunia Islam amat kurang walaupun mempunyai begitu banyak sumber asli dan sumber manusia.

“Kita perlu kembali kepada pendidikan di mana negara-negara Islam perlu memberi tumpuan pada inovasi, yang bermakna perkukuhkan lagi  STEM dan bidang berkaitan …untuk mendorong mereka menjadi inovatif.

“Kita memiliki sumber-sumber tetapi kita tidak mampu menjadi inovatif. Sudah tiba masanya untuk bergerak ke arah budaya inovasi,” katanya menjelang Sidang Kemuncak Kuala Lumpur  2019 dijadual berlangsung mulai 18 sehingga 21 Disember. – Bernama