Dunia kecam serangan kejam di New Zealand

WASHINGTON, 15 Mac – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyelar ‘serangan kejam beramai-ramai’ di dua buah masjid di New Zealand, yang telah membunuh kira-kira 49 orang jemaah masjid dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain ketika solat Jumaat, hari ini.

Suspek utama serangan, seorang lelaki berusia 28 tahun berasal dari Australia, didakwa menyiarkan satu ‘manifesto’ perkauman di media sosial sebelum serangan, dengan menggambarkan teori konspirasi bagaimana warga Eropah diusir, maklumat mengenai persediaan selama dua tahun dan radikal yang membawa kepada serangan penembakan itu.

“Saya benar-benar bersimpati dan semoga orang ramai di New Zealand selamat selepas serangan beramai-ramai paling kejam di masjid berkenaan.

“Seramai 49 orang tidak bersalah meninggal dunia, dengan ramai mereka mendapat kecederaan serius,” kata Trump menerusi Twitter.

Queen Elizabeth II selaku ketua negara New Zealand, berkata baginda berasa ‘sangat sedih’ mendengar serangan yang berlaku.

“Beta berasa benar-benar sedih mendengar berita mengejutkan yang berlaku di Christchurch. Beta berdoa berharap kesemua rakyat New Zealand dalam keadaan selamat,” kata baginda dalam satu kenyataan.

“Beta dan Prince Philip mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan yang telah kehilangan nyawa mereka yang tersayang,” kata baginda.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif telah mempersalahkan ‘hipokrit barat’ ke atas serangan tersebut, dengan berkata ‘hipokrit barat yang mempertahankan ‘kejahatan’ orang Islam sebagai ‘kebebasan bersuara perlu diakhiri,” katanya.

Negara-negara Teluk, termasuk Arab Saudi dan Qatar, turut mengecam serangan itu yang juga mengakibatkan salah seorang rakyat negara itu tercedera akibat serangan tersebut, menurut kementerian luar negara Arab Saudi.

Manakala, di Vatican, Pope Francis turut memperlihatkan solidaritinya bersama rakyat New Zealand, khususnya masyarakat Islam yang terlibat dalam serangan itu, dengan mengatakan ‘berasa sedih berikutan kehilangan jiwa dan kecederaan akibat serangan tidak berperikemanusiaan itu. – AFP