Dunia ketatkan semula sekatan

PARIS, 5 OGOS – Perancis dan Belanda bersiap sedia melaksanakan peraturan mewajibkan penutup mulut dan hidung di tempat awam bagi memerangi COVID-19 setelah jumlah korban mencecah 700,000 orang.

Jawatankuasa saintifik yang bertindak memberi nasihat kepada kerajaan Perancis turut memberi amaran bahawa negara itu boleh hilang kawalan berikutan penyebaran itu boleh berlaku pada bila-bila masa.

Di Filipina pula, sekatan pergerakan dilaksanakan semula selepas dilaporkan jangkitan COVID-19 melepasi angka 100,000 kes dan kerajaan hanya membenarkan orang ramai keluar untuk membeli keperluan makanan, bersenam dan bekerja sahaja.

Notis sekatan dalam tempoh 24 jam itu menyebabkan orang ramai terkandas di Manila dan tidak dapat pulang ke kampung halaman selepas pengangkutan awam dan penerbangan domestik dihentikan.

Jangkitan di seluruh dunia kini melebihi 18 juta orang sejak dikesan di China pada Disember tahun lalu, dengan negara paling terjejas teruk ialah AS dengan jangkitan sebanyak 4.8 juta dan lebih 156,000 maut.

Brazil yang juga negara terbesar di Amerika Selatan mencatat lebih daripada 2.75 juta kes jangkitan COVID-19 dan 95,000 kes kematian. AS pula mengumumkan percubaan klinikal peringkat akhir dan dijangka menjadi antibodi melawan COVID-19 dan fasa ketiga percubaan akan dilakukan terhadap 300 sukarelawan di seluruh dunia yang dijangkiti.

Rusia pula menyasarkan untuk melancarkan vaksin bulan hadapan dan jutaan dos setiap bulan mulai tahun hadapan, sehingga Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggesa Rusia mengikut garis panduan ditetapkan. – AFP