Dunia memperingati kematian Maradona

BUENOS AIRES, 25 NOV – Dunia hari ini meraikan ulang tahun pertama kematian Diego Maradona yang dianggap sebagai pemain terbaik sepanjang zaman dan seorang pemain yang menjadi kebanggaan negaranya, Argentina biarpun mungkin kematiannya disebabkan kelemahan manusia.

Perlawanan kelab bola sepak Argentina turut memberi penghormatan seminit dan pemain membuat formasi 10 di atas padang sebagai menghormati jersi yang dipakai Maradona.

Upacara khas turut diadakan di Buenos Aires, tempat Maradona dibesarkan sebagai penghormatan kematian legenda bola itu.

Di Naples, di mana dia menghabiskan sebahagian daripada kariernya, dua patung dibuat khas untuk memperingati legenda itu.

“Kami akan merindui awda sepanjang hayat kami,” kata Liga Bola Sepak Argentina sebagai penghormatan pada malam ulang tahun kematian Maradona dengan video kehidupan, gol dan trofi yang diraih oleh pemain yang dikenali dengan julukan ‘Pibe de Oro’ (budak emas).

Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung pada November tahun lalu dalam usia 60 tahun beberapa minggu selepas menjalani pembedahan otak kerana darah beku.

Bintang Boca Juniors, Barcelona dan Napoli yang bergelut dengan ketagihan kokain dan arak selama beberapa tahun itu mengalami masalah hati, buah pinggang dan kardiovaskular ketika dia meninggal dunia.

Kematiannya mengejutkan peminat di seluruh dunia dan puluhan ribu hadir memberi penghormatan terakhir di hadapan kerandanya yang diselimuti bendera Argentina di istana presiden Buenos Aires selama tiga hari.

Dia mungkin sudah tiada tetapi di Argentina, Maradona sentiasa ada di mana-mana.– AFP

Mural mendiang DiegoMaradona menghiasi yayasan ‘Lugar del Sol’ untuk kanak-kanak miskin di BuenosAires, Argentina pada 24 November. Seluruh dunia meraikan ulang tahun pertama kematian legenda bola sepak itu pada 25 November. – AP