‘Dunia patut lebih awal dengar nasihat WHO’

GENEVA, 28 APRIL – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengeluarkan amaran tertinggi lebih awal mengenai COVID-19, tetapi tidak banyak negara yang mendengarnya.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menjelaskan, organisasi itu sudah mengeluarkan amaran penularan virus itu pada 30 Januari lalu, di mana ketika itu tiada lagi kematian dan hanya 82 kes disahkan di luar China.

“Dunia patut lebih awal dengar dan berhati-hati dengan apa yang WHO perkatakan,” katanya semalam menerusi sidang media secara maya.

Tedros juga menegaskan bahawa agensi itu sudah mengeluarkan nasihat sejak awal berdasarkan bukti terbaik sains.

Namun, beliau berkata pihaknya tidak mempunyai mandat untuk memaksa setiap negara untuk mendengar nasihat organisasi itu.

“Kita sudah menasihatkan dunia supaya melaksanakan pendekatan kesihatan awam yang komprehensif iaitu mengesan kontak rapat, ujian saringan, lakukan pengasingan. “Ia bergantung kepada negara masing-masing untuk terima atau menolak. Kita boleh lihat sekarang negara yang dengar nasihat WHO adalah lebih baik berbanding negara lain,” katanya.

Selain itu, Tedros berkata, organisasi itu turut bimbang peningkatan kes positif dan kematian di Afrika, Timur Eropah, Amerika Latin dan beberapa negara Asia.

“Ketika beberapa negara di Eropah melonggarkan sekatan susulan pengurangan kes, kami mendesak negara-negara ini mencari, mengasingkan, menguji dan merawat semua kes dan mengesan kontak untuk memastikan trend penurunan ini berterusan.

“Tetapi pandemik masih jauh lagi daripada berakhir. WHO masih bimbang dengan trend peningkatan Afrika, Timur Eropah, Amerika Latin dan beberapa negara Asia.

“Masih banyak yang perlu dilakukan dan yakin tindakan yang betul membolehkan dunia mengelak gelombang jangkitan kedua,” katanya. – AFP