Dunia perlu tingkatkan sasaran pengurangan pencemaran

GLASGOW, 10 NOV – Satu teks draf sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa negara-negara untuk meningkatkan sasaran pengurangan pencemaran mereka menjelang 2022, tiga tahun lebih awal daripada jadual, selepas data menunjukkan dunia jauh tersasar daripada had amaran 1.5 darjah Celsius.

Teks tersebut menjadi petunjuk pertama di mana ne-gara-negara memasuki hari ke-10 perbincangan COP26 di Glasgow, yang dianjurkan oleh Britain, sangat penting untuk mencapai sasaran suhu iklim semasa Perjanjian Paris 2015. Teks tersebut menggesa negara-negara untuk ‘mengkaji semula dan mengukuhkan’ pelan pengurangan karbon mereka menjelang tahun hadapan dan berkata mengehadkan pemanasan 1.5 darjah Celsius ‘memerlukan langkah tegas dan berkesan daripada semua pihak dalam dekad yang penuh kritikal ini’.

Ia berkata ‘pengurangan segera, mendalam dan mampan dalam pelepasan gas rumah hijau global’ diperlukan untuk mengelak daripada impak buruk pemanasan, yang sudah disaksikan oleh negara-negara di seluruh dunia dengan kejadian banjir buruk, kemarau dan ribut.

Pelan pengurangan karbon terkini daripada negara-negara sudah dihantar di bawah Perjanjian Paris dan berkemungkinan akan melihat Bumi 2.7 darjah Celsius lebih panas pada abad ini, menurut penilaian PBB mengenai ikrar tersebut.

Perjanjian 2015 mengandungi mekanisme yang memerlukan negara-negara mengemas kini pelan pelepasan setiap lima tahun.

Beberapa buah negara pengeluar pencemaran terbesar terlepas tarik menghantar pelan baharu pada 2020.

Negara-negara yang terdedah berkata tarikh akhir seterusnya, pada 2025, terlalu jauh untuk melaksanakan pengurangan pencemaran jangka pendek yang diperlukan untuk mengelak pemanasan.

Pemerhati berkata ‘perkara pertama yang disebut sangat signifikan’ mengenai bahan bakar yang menyebabkan pemanasan global, draf sidang kemuncak menggesa negara-negara untuk ‘mempercepatkan penghapusan arang batu dan subsidi bahan bakar fosil’. – AFP

Seorang penunjuk perasaan memegang poster bantahan di luar tempat Persidangan Kemuncak COP26 di Glasgow. Dunia digesa untuk meningkatkan sasaran pengurangan pencemaran mereka menjelang 2022. – AP