Dunia sekali lagi sambut Krismas dalam pandemik

SYDNEY, 24 DIS – Peningkatan penularan varian Omicron virus COVID-19 sekali lagi menyaksikan Krismas disambut dalam pandemik oleh berbilion penduduk dunia, dengan ketibaan Santa dan penyatuan keluarga yang dinanti-nantikan dibayangi prospek lebih banyak sekatan COVID-19.

Buat tahun kedua berturut-turut, peningkatan kes jangkitan telah menjejaskan rancangan musim Krismas dari Sydney hingga ke Sevilla.

Di Baitulaham, hotel-hotel menjangkakan kebanjiran pelancong namun hakikatnya mengecewakan. Selepas setahun perintah berkurung hampir penuh tahun lalu, sempadan Israel sekali lagi ditutup.

Tahun ini, sama seperti tahun sebelumnya, perhimpunan besar-besaran pada tengah malam sehari sebelum Krismas diganti dengan perkumpulan kecil mereka yang dijemput dan sambutan pada hari ini kurang meriah.

Di Eropah, kerajaan mengenakan langkah keselamatan yang mengurangkan kemeriahan sambutan Krismas bagi kebanyakan orang.

Manakala di United Kingdom mencatatkan rekod jangkitan COVID-19 tertinggi kelmarin, dengan Perdana Menteri Britain, Borris Johnson memberitahu orang ramai segera mendapatkan suntikkan penggalak sebagai hadiah Krismas untuk saudara-mara.

Di Perancis, kerajaan menggesa orang ramai untuk mendapatkan suntikkan penggalak tiga bulan selepas mendapatkan suntikan dos kedua, dikurangkan daripada lima bulan bagi melawan penularan Omicron.

Namun, perkumpulan Krismas adalah lebih longgar berbanding tahun sebelumnya di kebanyakan tempat di seluruh dunia. – AFP

Seorang budak merakamkan gambar bersama petugas berpakaian Santa Claus di Hong Kong.- AFP