Dunia terus diancam COVID-19

BEIJING, 5 APRIL – Dunia kini berdepan ancaman COVID-19, penyakit yang sebelum ini tidak diketahui puncanya, tetapi sudah merebak ke lebih 200 negara dan rantau.

Di Washington, agensi berita Xinhua melaporkan, jumlah kes COVID-19 sudah melebihi 1.2 juta, berdasarkan data dikumpul Johns Hopkins University pada Sabtu. Di Tokyo, Kementeiran Kesihatan dan kerajaan tempatan Jepun hari ini berkata, kes jangkitan COVID-19 di seluruh negara sehingga jam 10.30 pagi waktu tempatan sebanyak 3,506 meningkat 367 kes berbanding hari sebelumnya.

Jumlah kematian akibat virus maut itu setakat ini kekal 96 orang, menurut kementerian yang turut memasukkan data kes di atas kapal persiaran Diamond Princess, kini dikuarantin di Yokohama, dekat Tokyo. Di Wuhan, sebuah lagi daerah di bandar yang terjejas teruk akibat COVID-19, kini diisytiharkan sebagai kawasan berisiko rendah, menurut ibu pejabat pusat kawalan dan pencegahan wabak wilayah. Ini menjadikan jumlah kawasan berisiko rendah di Wuhan sebanyak sembilan daripada 13 daerah.

Empat daerah lain diklasifikasikan sebagai berisiko sederhana, menurut ibu pejabat itu. Di Beijing, pihak berkuasa kesihatan China hari ini berkata, ia menerima laporan 30 kes baharu COVID-19 di tanah besar China dengan 25 daripadanya kes import. Lima kes domestik baharu dilaporkan di Wilayah Guandong. Juga kelmarin, tiga kematian, semua di Wilayah Hubei dan 11 lagi kes disyaki dilaporkan, kesemuanya kes import.

Menurut Suruhanjaya itu, 213 orang dibenarkan keluar hospital manakala jumlah kes kritikal susut 36 kes menjadikan jumlah semasa 295.

Di Brussels, Sepanyol mengesahkan 124,736 kes kelmarin mengatasi Itali yang merekodkan 124,632 kes. Sepanyol negara yang mencatatkan kes paling banyak di Eropah dan kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, Amerika kini mempunyai lebih 300,000 kes positif.

Di Rom pula, wabak COVID-19 sudah mengorbankan lebih 15,000 orang di Itali yang kini menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan sepenuhnya, menurut data Jabatan Pertahanan Awam negara itu. – Bernama

Para pekerja menggunakan topeng penutup muka bagi mengekang penularan COVID-19 ketika mendengar arahan ketua mereka sebelum memulakan tugasan di Beijing, kelmarin. – AFP