Durian tanpa kulit dapat sambutan

SINTOK, 9 JULAI – Inisiatif seorang pemuda menjual buah durian tanpa kulit, berbaloi apabila gerainya yang terletak di Batu 15, Jalan Sintok,

di sini menjadi tumpuan terutama oleh penggemar buah tersebut dari sekitar kawasan ini.

Mohd Izzuwan Ismail, 30, yang berasal dari Changlun, dekat sini berkata dia mengambil inisiatif menjual dengan cara itu bagi memastikan hanya isi durian yang elok sahaja dijual kepada pelanggannya demi kepuasan mereka.

“Saya mendapatkan durian daripada pemilik kebun durian dan bukan semua isi buah itu elok kerana ada buah yang sedikit berlubang dan buruk dan tidak boleh dijual kepada pelanggan.

“Jadi saya cuba menjual ulas isinya tanpa kulit dengan mengambil hanya isi yang elok sahaja dan diletakkan di dalam bekas sebelum dijual pada harga RM25 sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita di gerainya di sini.

Katanya, ternyata kaedah menjual seperti itu lebih menarik minat penggemar raja buah apabila kira-kira 200 biji durian di gerainya terjual setiap hari.

Mohd Izzuwan berkata gerainya turut menjual durian secara biji pada harga RM8 hingga RM25 sekilogram dan antara jenis durian yang dijual termasuk Udang Merah, D29 dan durian kampung. – Bernama

Peniaga Mohd Izzuwan Ismail, 30, menunjukkan durian jenis klon yang dijual digerainya di Batu 15, Jalan Sintok, hari ini. – Bernama