Thursday, April 18, 2024
24 C
Brunei

    -

    Durin, Meradong, Jalan Repok masih kawasan jangkitan ASF

    SIBU, 15 FEB – Pengisytiharaan Durin di Daerah Sibu, Meradong dan Jalan Repok di Daerah Sarikei sebagai kawasan dijangkiti penyakit Demam Khinzir Afrika (ASF) masih kekal dan belum ditarik balik, kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

    Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata perisytiharan serentak dibuat pada 14 Januari lepas selepas sampel dari beberapa ladang khinzir di kawasan tersebut disahkan positif ASF melalui ujian makmal itu, bagi memastikan kawalan penyakit yang lebih berkesan.

    “Setakat hari ini, pengisytiharan itu masih berkuat kuasa dan belum ditarik balik. Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)) masih memantau semua ladang, termasuk ladang komersial, ladang pekebun kecil serta khinzir yang dipelihara di kampung dan rumah panjang,” katanya.

    Dr Rundi berkata program pemantauan melibatkan pengawasan klinikal dan serologi, bagi mengenal pasti punca ASF merebak di kedua-dua bahagian. Beliau juga mengingatkan semua penternak supaya meningkatkan biosekuriti di ladang mereka termasuk tidak menggalakkan lawatan ke ladang, serta melarang kemasukan kenderaan yang tidak dibersihkan dan dinyahjangkit dengan sempurna, manakala pemberian makanan daripada sisa dapur harus dihentikan kerana produk makanan yang tercemar termasuk daging khinzir, kerap menyebabkan merebaknya ASF.

    Dr Rundi berkata JPV setakat ini berjaya membendung penyakit itu, tetapi namun mahu semua pengeluar daging khinzir terus bekerjasama dengan mengamalkan kebersihan dan sanitasi yang ketat. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...