Duta AS berkunjung ke Tibet

BEIJING, 20 Mei – Duta Amerika Syarikat (AS) ke China mengadakan lawatan pertama ke Tibet, lawatan seumpamanya oleh utusan negara itu dalam tempoh empat tahun selepas mendapat kebenaran masuk ke wilayah larangan itu, kata kedutaannya hari ini.

Lawatan dari Duta Terry Branstad muncul dua bulan selepas Jabatan Negara AS berkata Beijing ‘secara sistematik’ menghalang kemasukan ke wilayah Tibet kepada duta Amerika, wartawan dan pelancong negara itu.

Jurucakap kedutaan menerusi e-mel kepada AFP berkata, Branstad dijadualkan melawat wilayah Qinghai dan jirannya Tibet bermula Ahad sehingga Sabtu depan.

“Lawatan ini membuka peluang kepada duta untuk bertemu pemimpin tempatan bagi membangkitkan keprihatinan berpanjangan tentang penyekatan kebebasan beragama dan pemuliharaan budaya serta Bahasa Tibet,” kata jurucakap.

“Duta mengalu-alukan peluang tersebut untuk melawat wilayah autonomi Tibet dan menggalakkan pihak berkuasa memberikan akses ke wilayah ini kepada semua rakyat Amerika,” kata jurucakap itu.

Gambar fail pada 30 September 2017 menunjukkan Duta AS, Terry Edward Branstad (kiri) berjabat tangan bersama Presiden China, Xi Jinping di Great Hall of People di Beijing. – AP

Branstad akan mengadakan mesyuarat rasmi, melawat sekolah, tapak warisan keagamaan dan kebudayaan. Lawatannya dibuat ketika ketegangan perang perdagangan antara Beijing dan Washington.

Duta terakhir yang pernah melawat Tibet adalah Max Baucus pada Mei 2015.

Menurut laporan Jabatan Negara pada Mac, lima daripada sembilan permohonan Amerika Syarikat untuk melawat Tibet ditolak tahun lalu, termasuk permohonan Branstad. China menafikan laporan AS itu sebagai ‘penuh dengan prasangka’.

Pihak berkuasa China telah memberi penjelasan tentang keadaan ‘geografi’ dan ‘iklim’ sebagai sebab sekatan ke wilayah Himalaya itu.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Lu Kang berkata dia tidak menyedari tentang permintaan Branstad sebelumnya yang telah ditolak.

Namun Lu berkata jika diplomat-diplomat ingin mengunjungi ‘tempat istimewa’, ia ‘sudah pasti memerlukan rundingan bersama parti-parti berkenaan sebelum mereka boleh memulakan lawatan tersebut’. – AFP