Duta AS ke China bersara

WASHINGTON, 14 SEPT – Duta Amerika Syarikat (AS) ke China, Terry Branstad akan meletak jawatan, umum Setiausaha Negara Mike Pompeo hari ini, pada ketika hubungan yang semakin tegang di antara dua ekonomi terbesar dunia.

Mengucapkan terima kasih kepada Branstad atas perkhidmatannya, Pompeo berkata di Twitter bahawa beliau telah ‘menyumbang kepada keseimbangan hubungan AS-China supaya ia berorientasikan keputusan, saling balas dan adil.’

Dalam satu kenyataan, kedutaan AS di Beijing mengesahkan persaraan itu, berkata Branstad akan bersara dan meninggalkan Beijing pada bulan depan. Ia menambah beliau telah mengesahkan keputusannya kepada Presiden Donald Trump menerusi panggilan telefon pada minggu lalu.

Duta berusia 73 tahun itu telah memegang jawatan tersebut sejak Mei 2017.

“Saya paling bangga dengan usaha kami dalam menjamin perjanjian perdagangan Fasa Pertama dan menghasilkan keputusan untuk komuniti kami di tanah air,” kenyataan memetik beliau sebagai berkata.

Kerja beliau yang paling penting adalah mendesak Beijing untuk mengelaskan ‘opioid fentanyl’ sebagai bahan terkawal, menjadikan penjualannya ke Amerika Syarikat tertakluk kepada penalti maksimum China.

Kenyataan tidak memberikan butir-butir mengenai siapa yang akan mengambil alih di kedutaan itu.

Kementerian Hal Ehwal Luar China, sementara mengakui kata-kata Pompeo di Twitter, berkata ia masih belum menerima notis peletakan jawatan beliau.

Branstad dilaporkan mempunyai hubungan lama dengan Presiden China Xi Jinping, yang pertama ditemuinya pada 1980. – AFP

Gambar bertarikh 22 Mei 2019 menunjukkan Duta AS ke China, Terry Branstad dan isteri Christine semasa bergambar di depan Istana Potala di Lhasa di barat Rantau Autonomi Tibet China. – AP