Duta Britain ke AS letak jawatan

LONDON, 10 JULAI – Duta Britain ke Washington, Kim Darroch berkata hari ini dia meletak jawatan selepas mencetuskan kemarahan Donald Trump kerana menggelar presiden AS ‘tidak cekap’ dalam kabel sulit ke London yang bocor.

Darroch berkata dalam surat peletakan jawatan kepada Pejabat Luar Negeri bahawa skandal terbabit menjadikan ia ‘mustahil’ baginya untuk terus mewakili kepentingan Britain di Amerika Syarikat.

Trump berkata pentadbirannya tidak lagi akan ‘berurusan’ dengan Darroch.

“Sejak kebocoran dokumen rasmi dari kedutaan ini, adanya beberapa spekulasi hebat tentang kedudukan dan tempoh saya sebagai duta,” tulis Darroch.

“Saya ingin menamatkan spekulasi itu. Situasi masa ini menyebabkan ia mustahil untuk saya menjalankan tanggungjawab saya seperti dahulu,” katanya.

“Saya percaya keadaan semasa, langkah-langkah bertanggungjawab adalah untuk membenarkan pelantikan duta baharu.”

Perdana Menteri Theresa May memberitahu parlimen bahawa kritikan yang dihadapi Darroch selepas peletakan jawatannya itu ‘adalah tidak adil dan salah’. “Saya rasa dia patut diberikan penghormatan dan layanan baik,” ujarnya.

Berita tentang kebocoran kabel Darroch pada Ahad oleh The Mail telah mencetuskan keributan politik di London dan menyaksikan Trump melancarkan serangan dalam Twitter dua hari berturut-turut ke atas utusan dan May.

Salah satu kabel itu menggelar pentadbiran Trump ‘tidak berfungsi’ dan yang lain mengatakan pemimpin AS itu sebagai ‘tidak cekap’ dan ‘tidak yakin’. – AFP

Gambar fail bertarikh 18 Januari 2017 menunjukkan Kim Darroch bercakap pada satu acara di Washington. – AFP