Monday, November 28, 2022
27.1 C
Brunei

-

Duta COP26 UK lawat UBD

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Dengan hasrat bagi berkongsi pengalaman dan perspektif serta menerokai pengetahuan bersama warga institusi pengajian tinggi khususnya dalam bidang penyelidikan biodiversiti dan alam sekitar termasuklah botani, Duta Serantau COP26 United Kingdom (UK), Ken O’Flaherty telah mengadakan lawatan ke Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini.

Semasa lawatan berkenaan, Ken O’Flaherty telah menyampaikan taklimat di Institut Pengajian Dasar (IPS) dan mengadakan perbincangan di Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER) serta berkesempatan mengunjungi Pusat Penyelidikan Botani UBD (UBD BRC).

Ken O’Flaherty telah mengadakan perbincangan bersama Pengarah IBER, Dr Norhayati binti Ahmad dan kakitangan bagi berkongsi peranannya sebagai Duta Serantau COP26 UK dan mengetahui aktiviti penyelidikan dan pendidikan yang dijalankan di bawah institut tersebut.

Sementara itu, lawatan ke UBD BRC pula dipimpin oleh Pakar Botani, Dayang Nurul Hazlina binti Haji Zaini.

Penerangan memberi tumpuan kepada pemuliharaan flora Brunei terutamanya spesies yang jarang ditemui dan terancam melalui pelbagai aktiviti penyelidikan dan pendidikan yang dijalankan oleh pusat tersebut.

Lawatan berkenaan disusuli dengan sesi pembentangan mengenai aktiviti penyelidikan di IBER, berkaitan perubahan iklim yang telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr Rahayu Sukmaria Sukri, dengan memfokuskan kepada kekuatan IBER dalam memantau dinamik hutan melalui rangkaian plot hutan kekal IBER, projek mengenai penghutanan semula dan penyelesaian perubahan iklim berasaskan alam semula jadi, dan kuantifikasi stok karbon di hutan Negara Brunei Darussalam.

Seterusnya, Ken O’Flaherty menyampaikan ceramah bertajuk Climate Change ​– UK’s COP26 Presidency kepada pelajar, ahli fakulti dan tetamu jemputan di Teater Kuliah, Bangunan ILIA.

Ken O’Flaherty berada di negara ini sebagai sebahagian daripada program perubahan iklim yang meluas, termasuk UK dan Dialog Perubahan Iklim yang julung kali diadakan di negara ini.

Ken O’Flaherty turut menyampaikan taklimat semasa lawatan beliau ke UBD, baru-baru ini. – Gambar serahan UBD
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Ratusan bantah sekatan COVID China

BEIJING, 27 NOV – Bantahan terhadap kawalan koronavirus di China yang telah mengurungkan jutaan penduduk di rumah telah merebak ke Shanghai dan bandar lain...
- Advertisment -