Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Duta-duta sukan wanita ASEAN kongsi pengalaman

-

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah (gambar atas) telah berkenan berangkat menghadiri Program Bual Bicara Hibrid ASEAN We Score Campaign: Break Records, Make History sempena Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.  

Yang Teramat Mulia selaku Duta Sukan Wanita bagi Negara Brunei Darussalam merupakan salah seorang ahli panel yang menyertai program berkenaan yang turut disertai oleh duta-duta sukan wanita dari negara-negara anggota ASEAN.

Menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, antara topik utama yang dibincangkan semasa bual bicara tersebut adalah pengalaman peribadi duta-duta sukan wanita dalam membina kerjaya mereka sebagai atlet atau profesional sukan, pandangan peri-badi tentang penyertaan para wanita dalam arena-arena sukan serantau dan global, aspirasi mereka mengenai penyertaan wanita dalam sukan ASEAN dan pandangan bagaimana sukan menjadi wadah menggalakkan kesaksamaan jantina melalui pemerkasaan wanita dan gaya hidup sihat.

Program menyentuh isu berkenaan kesaksamaan jantina dan kepimpinan wanita, memelihara wanita dalam sukan, mempromosi hak orang berkelainan upaya melalui sukan, serta kesan COVID-19 terhadap sukan dan cara mengatasinya.

Pada program bual bicara yang juga bertepatan dengan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya itu, Yang Teramat Mulia bersama duta sukan wanita yang lain menekankan kepentingan mempunyai sistem sokongan yang kukuh dalam setiap aspek, semangat dan ketabahan serta konsisten untuk menjadi seorang atlet yang berjaya.

YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan berangkat menghadiri Program Bual Bicara Hibrid ASEAN We Score Campaign: Break Records, Make History sempena Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

Yang Teramat Mulia juga menekankan peranan penting atlet berprofil tinggi dalam menarik perhatian kepada tingkah laku sosial yang sesuai semasa wabak COVID-19.

Inspirasi Yang Teramat Mulia telah menyokong untuk memperkasa, mendidik dan memberi motivasi bukan sahaja kepada atlet tetapi juga kepada setiap anak muda melalui platform media sosial dan memberikan dorongan yang sangat diperlukan walaupun terdapat sekatan dan cabaran yang dihadapi pada masa ini.

Menurut kenyataan, kegiatan berkenaan adalah sebahagian daripada projek ASEAN-Jepun Actions on Sports yang dibiayai oleh Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF). 

Program berkenaan diadakan secara fizikal dan dalam talian sepanjang November dan Disember.  Acara Tribute to Tokyo 2020 ASEAN Olympic and Paralympic Medallists diadakan di Sekretariat ASEAN, Jakarta, manakala di negara anggota ASEAN ia diadakan secara maya.

Acara ini disiarkan secara langsung dari Jakarta dan Jepun melalui saluran YouTube Live ASEAN We Score.

Turut menghadiri Program Bual Bicara Hibrid tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, berserta para menteri sukan ASEAN dan setiausaha agung ASEAN.

Beliau turut menyampaikan Sijil Penghargaan Sekretariat ASEAN kepada dua orang atlet Brunei yang menyertai Sukan Olimpik 2020, iaitu Awang Mohd Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idris (olahraga) dan Awang Mohd Isa bin Haji Ahmad (renang).

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -