Duta Jepun ke Korea S diarah pulang

TOKYO, 6 Jan – Jepun memanggil pulang dutanya ke Korea Selatan hari ini untuk membantah peletakan patung yang melambangkan mangsa-mangsa penghambaan seks waktu perang Jepun di luar konsulnya di bandar Busan bulan lalu.

Dalam langkah yang mungkin mencetuskan semula pertelingkahan berhubung apa yang digelar ‘wanita peneman’, ketua jurucakap kerajaan Jepun Yoshihide Suga juga mengumumkan bahawa Jepun mengarahkan pulang konsul agungnya di Busan dan menangguhkan rundingan berhubung pertukaran mata wang Jepun-Korea Selatan.

“Jepun dan Korea Selatan berjiran. Ia adalah negara sangat penting. Adalah sangat dikesali kami terpaksa mengambil tindakan ini,” kata Suga.

“Kerajaan Jepun akan terus menggesa dengan keras supaya kerajaan Korea Selatan dan juga perbandaran-perbandaran berkenaan supaya cepat mengalihkan patung gadis itu,” tambahnya.

Sejarawan aliran utama mengatakan sehingga 200,000 orang wanita, kebanyakannya dari Korea tetapi juga bahagian-bahagian lain di Asia, yang termasuklah China, telah dipaksa bekerja di rumah pelacuran tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Patung itu meniru patung yang duduk di seberang jalan Kedutaan Jepun di Seoul dan itu selama lebih lima tahun telah menjadi tempat perhimpunan bagi para penyokong bekas hamba seks warga Korea Selatan yang masih lagi hidup.

Patung di Busan itu pada awalnya dialihkan oleh pihak berkuasa tempatan selepas aktivis-aktivis Korea Selatan meletakkannya di hadapan konsul Jepun di bandar pelabuhan selatan minggu lalu.

Namun mereka tidak menghalang ia diletakkan semula selepas menteri pertahanan Jepun yang berpendirian keras Tomomi Inada berdoa di tempat keramat perang berkontroversi itu di Tokyo pada hari berikutnya.

Bagaimanapun Suga, tidak menyebutkan lawatan Inada ke tempat itu, yang memberi penghormatan kepada berjuta-juta mangsa perang yang kebanyakannya warga Jepun, tetapi juga orang kanan tentera dan politik yang disabitkan dengan kesalahan jenayah perang.

Lawatannya telah mengundang kritikan keras di Korea Selatan dan juga China. – AFP