Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Duta kecil Brunei diseru ambil serius tanggungjawab sebagai warga global

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Pelajar-pelajar Brunei yang akan melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS) merupakan duta kecil Brunei, oleh itu, mereka diseru mengambil serius tanggungjawab sebagai cendekiawan serta warga global yang baik.

    Mereka harus ingat bahawa mereka mewakili Brunei dan akan menjadi sumber maklumat mengenai Brunei kepada rakan-rakan sebaya serta warga di AS nanti, jelas Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn McClelland dalam kata alu-aluannya pada orientasi pra-perlepasan yang berlangsung di Dewan Cesar, Hotel Mulia, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

    Beliau turut menyeru para pelajar untuk memanfaatkan segala peluang positif yang hadir kepada mereka nanti.

    AS, ulasnya lagi, merupakan sebuah negara yang pelbagai daripada berbagai-bagai aspek dan adalah menjadi harapan apabila kembali setelah menamatkan pengajian, mereka akan mempunyai kefahaman yang lebih mendalam mengenai negara berkenaan.

    Walaupun menghadapi cabaran global semasa dan berterusan, PYT McClelland menggalakkan para pelajar antarabangsa yang berminat untuk memohon melanjutkan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi AS.

    Kira-kira 50 orang pelajar biasiswa dan pembiayaan sendiri yang akan melanjutkan pengajian mereka ke AS bersama-sama dengan ibu bapa mereka menghadiri majlis itu.

    Majlis menyaksikan Pemangku Ketua Konsular, Ekonomi dan Politik, Kedutaan AS, Siree Allers menyampaikan taklimat mengenai proses dan permohonan visa pelajar serta garis panduan COVID-19 untuk mereka yang hendak pergi ke AS.

    Di samping itu, para pelajar juga berpeluang untuk berinteraksi dengan pelajar yang sedang dan kembali ke Brunei untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai pengalaman tinggal dan belajar di AS terutamanya mengenai kesihatan, keselamatan dan sekuriti di kampus.

    Antara alumni dan pelajar yang menghadiri taklimat berkenaan ialah 14 orang pelajar pelawat dari Virginia Polytechnic Institute and State University, yang pada masa ini sedang mengendalikan penyelidikan kolaboratif dengan Universiti Brunei Darussalam di bawah Pakar Fullbright AS, Dr Rolf Mueller.

    PYT Caryn McClelland menyampaikan kata alu-aluannya semasa orientasi pra-perlepasan yang berlangsung di Dewan Cesar, Hotel Mulia, Kampung Anggerek Desa, kelmarin.
    Antara pelajar yang akan melanjutkan pengajian di AS bersama ibu bapa semasa orientasi berkenaan, kelmarin.
    Salah seorang pelajar meletakkan pelekat menunjukkan lokasi universiti di mana beliau akan melanjutkan pengajiannya nanti.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...