Duta M’sia kunjungi PM Thai

BANGKOK, 13 Jun – Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri negara itu Jen Prayut Chan-o-cha di Rumah Kerajaan, di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Jen Prayut mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan mengadakan pilihan raya umum baru-baru ini dan menyatakan kesediaan kerajaannya untuk bekerjasama dalam mempromosikan dan memperkuat hubungan dua hala dengan Malaysia.

“Perdana Menteri (Gen Prayut) menyebutkan tentang pentingnya dasar ‘memakmurkan jiran’ kerajaan Malaysia, di bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melengkapi dasar kerajaan Thailand mengenai jiran,” menurut satu kenyataan oleh pejabat Perdana Menteri.

Ia berkata, Thailand dan Malaysia telah mengadakan kerjasama rapat di bawah mekanisme dua hala sedia ada.

Kenyataan itu juga menyebut tentang komitmen duta untuk memperkukuh hubungan dan persahabatan antara kedua-dua negara. – Bernama

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Jen Prayut Chan-o-cha di Rumah Kerajaan, kelmarin. – Bernama