Duta Myanmar ke PBB letak jawatan

NEW YORK, 5 MAC – Duta Myanmar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baru dilantik, telah meletak jawatan dan memaklumkan bahawa penyandang sebelum ini – yang dipecat oleh junta tentera – akan terus mewakili negara itu, menurut jurucakap agensi antarabangsa berkenaan, semalam.

Pihak tentera memecat Kyaw Moe Tun pada Sabtu lalu, sehari selepas beliau menzahirkan keengganan untuk berkhidmat di bawah pemerintahan junta serta merayu Perhimpunan Agung PBB supaya membantu mengembalikan demokrasi di Myanmar.

Junta kemudian melantik Timbalannya, Tin Maung Naing, sebagai pengganti.

Bagaimanapun jurucakap PBB, Stephane Dujarric, berkata Maung Naing kemudian memaklumkan agensi itu bahawa beliau sudah mengemukakan surat peletakan jawatannya dan Moe Tun kekal sebagai perwakilan tetap Myanmar ke PBB.

Langkah itu menyusul selepas Moe Tun menulis surat kepada Presiden Perhimpunan Agung PBB pada Isnin lalu, bagi menegaskan bahawa rampasan kuasa di Myanmar adalah ‘tidak mengikut undang-undang’, justeru pihak tentera tiada kuasa untuk memecatnya.

“Oleh itu, saya mengesahkan kepada anda bahawa saya masih perwakilan tetap Myanmar ke PBB,” katanya.

Selasa lalu, Kementerian Luar Myanmar pula menghantar nota lisan kepada PBB yang menyatakan Moe Tun sudah dipecat.

Susulan penerimaan dua surat ‘bercanggahan’ itu, Dujarric berkata PBB telah menyerahkan kepada Jawatankuasa Akreditasi dan Protokol untuk meneliti isu terbabit. – AFP

Duta Myanmar ke PBB KyawMoe Tun memberikan isyarat ingkar yang dilakukan oleh pembantah antirampasan di Myanmar, pada akhir ucapan di Perhimpunan Agung PBB pada 27 Februari 2021. – AP