Duta Perancis runding perjanjian nuklear

TEHRAN, 10 JULAI – Seorang penasihat diplomatik kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron mengadakan rundingan di Tehran hari ini bertujuan menyelamatkan perjanjian nuklear 2015 dan meredakan ketegangan di antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Emmanuel Bonne bertemu dengan Laksamana Muda Ali Shamkhani, setiausaha Majlis Keselamatan Nasional Tertinggi Iran, dan dijangka bertemu dengan Menteri Luar Mohammad Javad Zarif lewat hari ini.

Misi Bonnes adalah ‘untuk membuka ruang perbincangan untuk mengelak peningkatan yang tidak terkawal, malah satu kemalangan,” menurut Menteri Lyar Perancis Jean-Yves Le Drian.

Perjanjian di antara Iran dan kuasa dunia, Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), menjanjikan pembatalan sekatan, faedah ekonomi dan berakhirnya pemulauan antarabangsa sebagai tukaran kepada kawalan ketat ke atas program nuklear Republik Islam itu.

Namun Tehran berkata ia telah hilang sabar dengan kegagalan negara Eropah untuk bertindak lebih setahun selepas Presiden Donald Trump mengeluarkan AS daripada perjanjian itu. Pihak Eropah dalam perjanjian bersama ketua diplomatik EU semalam menggesa Tehran supaya menarik balik pencabulan perjanjian.

Iran “mesti bertindak sewajarnya dengan kembali mematuhi JCPOA dengan serta-merta,” kata satu kenyataan dari Kesatuan Eropah dan menteri-menteri luar Perancis, Jerman dan Britain. – AFP

Ali Shamkhani (kanan), setiausaha Majlis Keselamatan Nasional Tertinggi Iran bertemu dengan Emmanuel Bonne, penasihat diplomatik kepada presiden Perancis, di ibu negara Iran Tehran kelmarin. – AFP