Duta Rusia temui Taliban hari ini

MOSCOW, 16 OGOS – Rusia berkata dutanya ke Afghanistan akan bertemu dengan Taliban esok, Selasa, dan ia akan memutuskan sama ada untuk mengiktiraf kerajaan baharu itu berdasarkan tata kelakuannya.

Duta Dmitry Zhirnov memberitahu media Rusia dari Kabul yang Taliban sudah pun menubuhkan ‘peraturan am’, telah mengekalkan sekolah perempuan dibuka dengan kedutaan Rusia telah dikawal.

“Duta kami sedang berhubungan dengan kepimpinan Taliban, esok dia akan bertemu dengan penyelaras keselamatan Taliban,” kata pegawai kementerian luar, Zamir Kabulov dalam temu bual bersama stesen radio Ekho Moskvy hari ini.

Dia berkata rundingan antara duta Zhirnov dan Taliban akan berpusat tentang bagaimana kumpulan itu merancang untuk menyediakan keselamatan bagi kedutaan Rusia di bandar Afghan.

Kelmarin, ketika Taliban sepenuhnya mengambil alih Afghanistan, Kabulov berkata Rusia tidak ada rancangan untuk mengosongkan kedutaannya – meskipun hari ini dia berkata ‘sebahagian’ kakitangannya akan ‘dipindahkan’.

Kabulov berkata Moscow akan memutuskan untuk mengiktiraf kerajaan baharu Taliban ‘berdasarkan tata kelakuan pihak berkuasa baharu’.

“Kami akan dengan teliti melihat bagaimana bertanggungjawabnya mereka mentadbir negara ini pada masa hadapan. Dan berdasarkan keputusan, kepimpinan Rusia akan mengeluarkan kesimpulan yang perlu,” kata Kabulov.

Dalam temu bual dari Kabul bersama rangkaian televisyen Rossiya 24, duta Zhirnov berkata Taliban telah mula ‘bertapak’ di Kabul dan menubuhkan ‘peraturan am’.

“Taliban sudah pun mengawal kedutaan kami,” katanya. – AFP