Duterte: Ambil vaksin atau dipenjara

MANILA, FILIPINA, 22 JUN – Presiden Filipina mengancam menangkap warga Filipina yang enggan mendapatkan vaksin COVID-19 dan memberitahu mereka untuk meninggalkan negara itu jika mereka enggan bekerjasama dalam usaha mengekang pandemik.

Presiden Rodrigo Duterte yang terkenal meluahkan kemarahan di khalayak ramai dan kata-kata yang agak kasar, mengatakan dalam siaran langsung di televisyen hari ini, bahawa beliau jengkel dengan orang yang enggan mendapatkan imunisasi dan kemudian menularkan koronavirus itu.

“Jangan salah sangka. Negara kita berdepan krisis. Terdapat darurat kebangsaan. Jika kamu enggan mendapatkan vaksin, saya akan menangkap dan menyuntik vaksin di punggung kamu,” kata Duterte.

“Jika kamu tidak bersetuju divaksin, tinggalkan Filipina. Pergi ke India jika kamu mahu atau ke mana-mana sahaja, ke Amerika,” katanya, menambah beliau akan mengarahkan ketua kampung untuk mengumpulkan senarai nama penduduk yang ingkar.

Seorang peguam hak asasi manusia, Edre Olalia membangkitkan kebimbangan terhadap ancaman Duterte itu, mengatakan presiden tidak boleh mengarahkan penangkapan sesiapa sahaja yang jelas tidak melakukan sebarang jenayah.

Duterte dan pentadbirannya berdepan kritikan terhadap kempen vaksinasi yang dibelenggu masalah bekalan dan sikap ragu-ragu orang awam. Selepas penangguhan berulang kali, vaksinasi bermula Mac lalu.

Duterte menyalahkan masalah bekalan ke atas negara-negara kaya Barat yang mengumpulkan vaksin untuk rakyat mereka sendiri, mengakibatkan negara-negara miskin seperti Filipina ketinggalan.

Filipina merupakan sebuah negara titik panas COVID-19 di Asia, dengan lebih 1.3 juta kes dan sekurang-kurangnya 23,749 kematian akibat virus itu. – AP

Seorang pemandu beca diinokulasi dengan vaksin Sinovac di Manila, 22 Jun. Presiden Filipina mengancam menangkap rakyat Filipina yang enggan mengambil vaksin dan memberitahu mereka yang enggan berbuat demikian untuk meninggalkan negara itu. – AP