MANILA, 19 Julai – Rundingan damai kerajaan Filipina bersama pemberontak komunis hampir-hampir musnah hari ini ketika Presiden Rodrigo Duterte mengancam untuk menamatkan rundingan selepas gerila yang disyaki menembak dan mencederakan lima daripada pengawal peribadinya dalam satu serangan.
Penolongnya berkata Duterte tidak bersama konvoi apabila lelaki bersenjata melepaskan tembakan kepada dua kenderaan Kumpulan Keselamatan Presiden (PSG) di pulau selatan Mindanao, di mana tentera juga telah bertempur dengan lelaki bersenjata yang diinspirasikan oleh kumpulan Islamic State selama hampir dua bulan.
“Presiden mengarahkan panel kerajaan supaya jangan meneruskan rundingan perdamaian formal melainkan pemberontak bersetuju untuk menghentikan serangan mereka ke atas tentera kerajaan di Mindanao,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh istana presiden.
Rundingan damai antara pemberontak dan kerajaan berlaku tidak menentu sejak Duterte, dipilih menjadi presiden tahun lepas. Kedua-dua belah pihak sejak itu telah mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak namun tidak berpanjangan.

Duterte menangguhkan rundingan damai formal pada Mei selepas kedua-duanya gagal untuk menyelesaikan pertikaian berhubungan arahan pemberontak bagi para pejuang untuk meningkatkan serangan.
Kelmarin, Duterte secara berasingan telah mengarahkan perunding untuk bertemu secara tidak rasmi rakan komunis di Eropah dalam masa beberapa hari dan meningkatkan isu berkenaan, Dureza memberitahu televisyen ABS-CBN sehari kemudian.
Namun penasihat damai Duterte, Jesus Dureza kemudian mengumumkan yang kerajaan juga membatalkan rundingan tidak formal yang dirancang dengan pemberontak akibat serangan New People Army, sayap bersenjata parti komunis dengan kekuatan 4,000 anggota. – AFP