Duterte ancam tamatkan perjanjian tentera AS

MANILA, 24 JAN – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam menamatkan satu perjanjian penting mengadakan latihan perang tahunan dengan tentera Amerika jika AS tidak membatalkan sekatan visa perjalanan ke atas pegawai yang menyelia kempen membasmi dadahnya.

Ia merupakan ancaman terbaharu dalam senarai panjang Duterte untuk mengeruhkan atau memutuskan hubungan dengan sekutu bersejarah Washington yang sekali-sekala mengkritik tindakan keras narkotiknya yang membawa maut.

Duterte berkata demikian selepas Ronald Dela Rosa, bekas ketua polis kebangsaan yang kini seorang senator mengatakan AS membatalkan visanya namun tidak memaklumkan sebabnya.

Dela Rosa merupakan penguatkuasa pertama ke atas kempen Duterte yang dikecam di peringkat antarabangsa, yang menurut polis membunuh lebih 5,500 orang dikatakan pengedar dan penagih dadah. – AFP