Sunday, December 15, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duterte bakal bersara, naib presiden akan buat keputusan

    MANILA, 3 OKT – Naib Presiden Filipina, Leni Robredo akan membuat keputusan pada minggu ini sama ada beliau akan bertanding bagi jawatan presiden, jurucakapnya berkata hari ini, selepas pesaing ketatnya dan presiden Filipina kini, Rodrigo Duterte mengumumkan bahawa beliau akan bersara daripada politik.

    Robredo, pengkritik lantang terhadap perang dadah kontroversi yang dilaksanakan Duterte, berkemungkinan menjadi satu-satunya calon pembangkang dalam pilihan raya pada Mei 2022.

    Jurucakap naib presiden itu, Barry Gutierrez memberitahu AFP bahawa Robredo belum menerima pencalonan gabungan pembangkang dan akan mengumumkan keputusannya sebelum tarikh akhir pemfailan pada 8 Oktober.

    Duterte, yang dari segi undang-undang tidak dibenarkan bertanding bagi penggal kedua, telah mengisytiharkan pada Ogos lalu bahawa beliau akan bertanding bagi jawatan naib presiden.

    Tetapi dalam pengumuman mengejut semalam, Duterte berkata bahawa beliau akan bersara, yang diterima dengan penuh rasa ragu-ragu oleh para penganalisis.

    Duterte telah membuat pengumuman yang sama pada September 2015, berkata bahawa beliau ‘akan bersara daripada kehidupan awam buat selama-lamanya”, namun dua bulan kemudian mengisytiharkan penyertaan bagi pilihan raya presiden.

    Duterte belum menamakan pengganti, tetapi memberi gambaran bahawa anak perempuannya, Sara akan bertanding di samping pembantu setianya, Senator Christopher Go.

    Tinjauan telah menunjukkan bahawa Sara Duterte, anak lelaki dengan nama sama bekas diktator, Ferdinand Marcos, jaguh tinju Manny Pacquiao dan datuk bandar selebriti Francisco Domagoso adalah calon yang disebut-sebut berpotensi dipilih sebagai presiden.

    Pacquiao dan Domagoso telah mengumumkan bahawa mereka akan bertanding, sementara Marcos belum mengesahkannya. – AFP

    Senator Christopher “Bong” Go (kanan), ditemani oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte, memfailkan sijil pencalonannya untuk menyertai pilihan raya presiden di Pasay City, metro Manila pada 2 Oktober lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda