Duterte failkan pencalonan Senat

MANILA, 16 NOV – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kelmarin memfailkan pencalonan bagi kerusi Senat dalam pilihan raya tahun depan, mengingkari janjinya untuk bersara dari arena politik selepas penggalnya berakhir, dengan kumpulan hak asasi mengatakan beliau sedang berusaha menghindari kebertanggungjawaban bagi kempen antidadah membawa maut yang dilancarkannya.

Peguam bagi Duterte, 76, memfailkan pencalonan bagi bertanding kerusi Senat di Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum tarikh akhir pencalonan bagi pilihan raya Mei tahun depan.

Duterte awal bulan lalu mengumumkan beliau akan bersara daripada politik selepas membatalkan rancangan untuk bertanding jawatan presiden berdasarkan apa yang dikatakannya sentimen awam berleluasa membantah rancangannya itu. Rancangan awalnya untuk bertanding jawatan naib presiden membangkitkan kemarahan aktivis, yang menggelarnya sebagai ‘bencana hak asasi manusia’ dalam negara demokrasi ASEAN itu.

“Pencalonan bagi pertandingan kerusi Senat Duterte adalah satu lagi cubaan penzalim itu untuk menghindari kebertanggungjawaban dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan mekanisme kebertanggungjawaban lainnya,” kata Christina Palaby dari Karapatan, sebuah kumpulan hak asasi manusia sayap kiri di Filipina. – AP

Perwakilan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memegang sijil pencalonannya di Suruhanjaya Pilihan Raya di Manila, Filipina. – AP