Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duterte gelar ahli parlimen Eropah ‘gila’

    NAYPYIDAW, Myanmar, 20 Mac – Presiden Filipina Rodrigo Duterte menyifatkan para ahli parlimen Eropah sebagai ‘gila’ dalam kritikan kasar ke atas perang dadahnya yang membawa kematian, sementara berikrar lagi bahawa semua para penyeludup dadah akan dibunuh.

    Duterte telah membuat ucapan pada lewat malam semalam di Myanmar selepas Parlimen Eropah mengeluarkan resolusi minggu lalu yang menyelar ‘pembunuhan ramai luar bidang kehakiman’ dalam tindakannya memerangi dadah.

    “Saya tidak faham dengan kegilaan ini, mengapakah kamu cuba mengenakan kami? Mengapa tidak kamu jaga urusan kamu sendiri,” kata Duterte yang kerap menggunakan kata-kata menyumpah dan bahasa kesat lain terhadap para pengkritik.

    Sejak mengambil jawatan sebagai presiden pada pertengahan tahun lalu, Duterte telah mengawasi kempen kejam untuk menghapuskan dadah yang menurutnya mengancam akan menjadikan Filipina negara dadah.

    Polis telah melaporkan membunuh lebih 2,500 orang, manakala kumpulan hak asasi kemanusiaan berkata terdapat lebih 5,000 kematian lain berkaitan memerangi dadah. Amnesty International dan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan berkata Duterte mungkin menyelia jenayah ke atas kemanusiaan, dengan polis dikatakan mengendali skuad maut yang tidak diketahui. Duterte menegaskan dia tidak minta pasukan keselamatannya melanggar undang-undang, meskipun pada masa lain dia telah menggesa berjuta-juta penagih dadah di bunuh dan berikrar akan mengampunkan para pegawai polis yang didapati bersalah membunuh.

    Duterte ketika mengadakan pertemuan bersama Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi ketika perbincangan mereka di Istana Presiden di Naypitaw, Myanmar. – AP
    Duterte ketika mengadakan pertemuan bersama Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi ketika perbincangan mereka di Istana Presiden di Naypitaw, Myanmar. – AP

    Pada ucapan dalam perhimpunan masyarakat Filipina di bandar Naypyidaw, Myanmar, Duterte memberi amaran bahawa ramai lagi orang akan dibunuh dalam tindakannya ke atas dadah.

    “Lebih ramai akan mati. Saya katakan saya tidak akan berhenti. Saya akan meneruskan sehinga ketua dadah terakhir di Filipina dibunuh dan diusir,” katanya.

    Bertindak terhadap kritikan bahawa operasi yang disasarkan ke atas orang miskin, Duterte berkata beliau mesti ‘memusnahkan’ penjaja jalanan kecil dan juga ketua dadah besar.

    Dalam resolusinya, para ahli undangan Eropah juga menyeru Majlis Hak Asasi Kemanusiaan PBB supaya melancarkan penyiasatan ke atas perang dadah oleh Duterte, dan melahirkan ‘rasa cemas yang teramat’ dengan rancangan beliau untuk mengembalikan hukuman mati. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda