Duterte jadi calon ujian vaksin Rusia

MANILA, 12 OGOS – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menawarkan diri untuk menjadi ‘tikus makmal’ bagi menguji keberkesanan vaksin Covid-19 dihasilkan Rusia, kata jurucakapnya hari ini, ketika negara Asia Tenggara itu muncul sebagai calon bagi percubaan klinikal seberang laut.

Moscow berkata, ia telah membangunkan vaksin pertama dunia yang diberi nama Sputnik V dan menawarkan ‘imuniti mapan’ menentang virus dan kini berada di peringkat akhir ujian membabitkan 2,000 individu.

Bagaimanapun, saintis Barat sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kepantasan vaksin itu dihasilkan, membayangkan penyelidik mungkin mengambil jalan singkat.

Namun, walaupun timbul pelbagai andaian, Manila tetap menerima tawaran Rusia untuk turut serta dalam ujian klinikal, bekalan vaksin dan pengeluaran ubat itu, dan pihak berkuasa kesihatan Filipina mengatakan bahawa mereka akan bertemu dengan pengeluar ubat Rusia, Gamaleya, hari ini.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengatakan bahawa vaksin itu selamat dan seorang anak perempuannya telah menerima suntikan.

Duterte juga menyatakan ‘kepercayaan besar’ terhadap usaha Rusia untuk menghentikan penularan.

“Saya percaya vaksin yang anda hasilkan benar-benar baik untuk manusia,” kata Duterte, memuji Putin.

“Saya akan menjadi yang pertama menjalani eksperimen,” katanya pada Isnin. Jurucakap Duterte, Harry Roque mengatakan presiden yang terkenal membuat ucapan kontroversi itu sangat serius dengan kenyataannya.

“Dia sudah tua. Dia boleh mengorbankan nyawanya untuk orang Filipina,” katanya.

Sehingga kini, terdapat lebih 143,000 kes jangkitan COVID-19 di Filipina – kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Indonesia – dan jumlah kematiannya terkini lebih 2,400.

Negara yang mempunyai penduduk sekitar 107 juta itu bergelut untuk menangani jangkitan koronavirus dengan kini 27 juta orang telah dikenakan arahan duduk di rumah sejak minggu lalu di bandar Metro Manila dan kawasan berdekatan. – AFP