MANILA, 4 FEB – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menjalani pengasingan kendiri selepas terdedah kepada seorang kakitangan yang dijangkiti COVID-19 pada hujung minggu lalu, namun Duterte dua kali diuji negatif selepas itu, menurut jurucakap kelmarin.
Pemimpin berusia 76 tahun itu meneruskan tugasnya sementara dalam kuarantin dan kekal berkomunikasi dengan ahli kabinet untuk menangani isu segera dan kebimbangan berkaitan pandemik, menurut Setiausaha Kabinet, Karlo Nograles.
Duterte sudah melengkapkan pengambilan vaksinasi dan menerima dos penggalak bulan lalu.
Nograles mengesahkan laporan media sosial bahawa Duterte pergi ke Pusat Perubatan Cardinal Santos di daerah San Juan di wilayah ibu kota tetapi lawatan itu hanyalah ‘pemeriksaan rutin kesihatan sahaja’. Dia tidak memberitahu bila Duterte pergi ke hospital atau memberikan butiran lain.
Duterte, yang akan menamatkan tempoh penggal enam tahun pada Jun, memberitahu bahawa sebelum ini beliau menghidap pelbagai masalah kesihatan, termasuk sakit kepala berulang, akibat kemalangan motosikal.
Tetapi dia berkata kebimbangan kesihatan paling serius adalah Barrett’s esophagus, keadaan yang boleh menyebabkan asid perut mengalir ke esofagus.
Perlembagaan Filipina mewajibkan presiden untuk mendedahkan kepada awam mengenai sebarang penyakit serius dan pembantu Duterte mempertahankan keengganan presiden itu untuk mengeluarkan sebarang laporan perubatan mengenai kesihatan lalu dan mengatakan ia bukan masalah kesihatan serius. – AP