Duterte sakit, singkatkan kunjungan ke Jepun

MANILA, 22 OKT – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengalami ‘sakit tidak tertahan’ di pinggulnya selepas insiden jatuh motosikal, terpaksa menyingkatkan kunjungan ke Jepun, jurucakapnya menjelaskan hari ini.

Presiden berusia 74 tahun itu mengalami cedera di pinggul dalam insiden itu, dengan tahap kesihatannya sudah pun menjadi subjek spekulasi meluas susulan pendedahannya awal bulan ini bahawa beliau menderita sakit autoimun.

Satu kenyataan dari jurucakap presiden, Salvador Panelo menyatakan Duterte akan meninggalkan Jepun lebih awal daripada yang dirancang, selepas menghadiri upacara pertabalan Maharaja Naruhito.

“Istana mengumumkan bahawa presiden akan menyingkatkan kunjungannya ke Jepun kerana sakit yang tidak dapat ditahan di bahagian spina berhampiran tulang pelvis,” katanya.

Panelo mengatakan kesakitan itu adalah disebabkan kecederaan akibat jatuh dari motosikal di istana yang berlaku minggu lalu. – AFP