MANILA, 29 Sept – Presiden Filipina Rodrigo Duterte, pengkritik keras AS, kini melahirkan pujian kepada Washington kerana membantunya memerangi militan-militan kumpulan pro Islam IS.
“Terlalu banyak faktor yang terlibat. Namun saya agak mesra dengan mereka sekarang,” Duterte memberitahu para penduduk bandar tengah Balangiga ketika mengadakan lawatan, menurut transkrip rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Militan-militan Islam yang mengibarkan bendera hitam IS telah menduduki bandar selatan Marawi pada 23 Mei dan memerangi serangan tentera yang dibantu oleh AS selama lebih empat bulan.
AS telah menghantar pesawat kapal terbang pengintip P-3 Orion dan memberikan perisikan lain kepada pasukan Filipina yang cuba menawan semula bandar itu dalam pertempuran yang telah mengorbankan lebih 900 orang.
“Saya tidak akan menyatakan mereka adalah penyelamat kita, namun mereka adalah sekutu-sekutu kita dan mereka telah membantu kita. Dan malah hari ini, mereka telah memberikan peralatan penting kepada tentera kita di Marawi untuk memerangi para pengganas,” Duterte berkata semalam.

“Justeru itu tanpa bantuan mereka, kita akan mengharungi kepayahan,” katanya.
“Dengan itu kami berterima kasih.”
Duterte menandakan permulaan penggal enam tahun beliau tahun lalu dengan kata-kata keras terhadap AS ketika beliau menerajui negaranya menjauhi perikatan berdekad-dekad lamanya, sementara memburu perdagangan dan pelaburan dari saingan Washington, iaitu Beijing.
Pada lawatan ke China Oktober lalu Duterte mengumumkan ‘pemisahannya dari AS’, dengan menyatakan beliau bekerjasama semula dengan China dan Rusia pula.
Duterte menjelaskan pada ketika itu bahawa beliau marah terhadap presiden AS pada ketika itu, Barack Obama kerana mengkritik usahanya memerangi dadah yang sejak itu telah menyaksikan kira-kira 3,850 orang suspek ditembak mati oleh polis dan beribu-ribu lagi dibunuh oleh yang lain dan mereka yang disyaki penjaga keselamatan tersendiri. – AP