Duterte: Tiada sekolah hingga vaksin ditemui

MANILA, 26 MEI – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata beliau tidak akan membenarkan para pelajar kembali ke sekolah sehingga vaksin koronavirus diperolehi, biarpun ada beberapa negara sudah memulakan sesi pembelajaran di sekolah.

Kanak-kanak dijangka kembali ke sekolah akhir Ogos ini selepas sekolah-sekolah yang dihadiri 25 juta pelajar sekolah rendah dan menengah ditutup pada Mac lalu susulan penularan COVID-19 di Filipina.

Namun dalam ucapan yang diumumkan lewat kelmarin, Duterte berkata risikonya sangat tinggi, jika sistem akademik kembali beroperasi.

“Justeru, jika keselamatan mereka benar-benar dapat dipastikan, baru kita akan bincang pembukaan sekolah, biarpun pendidikan mereka terjejas akibatnya.

“Apa yang penting ialah jika vaksin ditemui dan sudah tersedia, barulah kita boleh buka semula sekolah, tidak mengapa jika mereka tidak dapat tamatkan pengajian,” katanya dalam ucapan yang disiarkan petang kelmarin.

Biarpun penyelidik di seluruh dunia berusaha mencari vaksin bagi COVID-19, setakat ini tiada kepastian saintis mana yang akan berjaya membangunkan penawar itu dan membekalkannya secara besar-besaran.

Sekolah awam di Filipina biasanya bermula Jun dan April, namun pihak berkuasa menangguhkan pembukaannya susulan pandemik virus itu yang memuncak dan pelaksanaan sekatan pergerakan secara ketat mengakibatkan banyak sektor ditutup.

Bagi mengurangkan kesesakan dalam kelas, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan beberapa langkah penjarakan pembelajaran, termasuk kelas online, yang akan digunakan bagi tahun sekolah akan datang.

Jutaan tinggal di kawasan miskin di Filipina dan tidak mempunyai akses kepada komputer di rumah, yang akan menjadi keutamaan bagi kelas online berdaya maju. – AFP

Robot bersama gambar-gambar pelajar yang menerima ijazah, berbaris di atas pentas dalam majlis ‘graduasi siber’ pertama yang diadakan semasa tegahan perhimpunan ramai disebabkan wabak koronavirus di Manila pada 22 Mei. Presiden Rodrigo Duterte mengatakan tidak akan membenarkan para pelajar bersekolah selagi vaksin belum ditemui. – AFP