Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Duterte yang dipenjara menang besar jawatan datuk bandar

    MANILA, 13 MEI – Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memenangi jawatan Datuk Bandar Davao dengan majoriti besar meskipun sedang ditahan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menurut keputusan rasmi yang diumumkan hari ini.

    Duterte meraih lebih 660,000 undi lapan kali ganda berbanding pencabarnya yang terdekat sekali gus mengukuhkan lagi pengaruh politik keluarganya di kampung halaman.

    Anaknya yang bongsu, Sebastian Duterte, yang sebelum ini memegang jawatan Datuk Bandar, kini diumumkan sebagai Timbalan Datuk Bandar. Anak sulungnya, Paolo, pula kekal sebagai Ahli Dewan Perwakilan, manakala dua orang cucunya turut menang dalam pilihan raya tempatan.

    Sementara itu, keputusan tidak rasmi menunjukkan sekurang-kurangnya lima calon yang disokong keluarga Duterte mendahului perebutan 12 kerusi Senat, melebihi jangkaan awal.

    Ia memberi kelebihan kepada Naib Presiden Sara Duterte yang berdepan perbicaraan pemecatan di Senat Julai ini atas pelbagai tuduhan termasuk salah guna dana awam dan dakwaan cubaan membunuh Presiden Ferdinand Marcos Jr dan keluarganya.

    Sekiranya disabitkan, Sara bakal kehilangan jawatan serta diharamkan daripada menyandang sebarang jawatan awam. Untuk dibebaskan, dia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya sembilan daripada 24 senator.

    Penganalisis politik dari Universiti Filipina, Profesor Jean Franco berkata keputusan Senat memberi harapan kepada Sara, namun nasibnya masih bergantung kepada kekuatan bukti dalam perbicaraan.

    Rodrigo Duterte kini ditahan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda sejak Mac lalu dan sedang menunggu perbicaraan atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan susulan kempen anti dadah sewaktu pemerintahannya (2016–2022) yang mengorbankan ribuan nyawa. – AP

    Rodrigo Duterte mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Agung Filipina, Bienvenido Reyes, semasa upacara pelantikan di Istana Malacanang, 30 Jun 2016 di Manila, Filipina. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda